Apli dipilih ganti Ahmad Razif

in Edisi Terengganu by


KUALA NERUS – Permuafakatan bekas kepimpinan dan orang-orang berpengaruh dalam Umno Kuala Nerus sebulat suara bersetuju untuk mengangkat Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff menerajui kepimpinan bahagian itu pada pemilihan 30 Jun depan.


Persetujuan yang dibuat dalam pertemuan beberapa hari lalu yang turut disertai Ketua Umno Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Abd Rahman adalah selari dengan usaha untuk memulihkan parti dan memberi laluan kepada muka baharu.


Bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Ramli Nuh berkata, pemilihan Apli yang juga bekas Ketua Pemuda Umno Kuala Nerus dilihat bertepatan dalam proses untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada parti itu khususnya dalam kalangan golongan muda.


“Sudah tiba masanya untuk Umno Kuala Nerus memilih kepimpinan baharu. Bukan semestinya orang muda tetapi pemimpin yang mampu membawa kembali parti kepada perjuangan asal.


“Cadangan untuk mengangkat Apli sebagai ketua bahagian pada pemilihan yang akan datang ini turut disambut positif oleh semua pihak termasuk ketua-ketua cawangan,”katanya kepada Sinar Harian.


Menurut Muhammad Ramli lagi, cadangan untuk mencalonkan Apli sebagai ketua bahagian itu juga diketahui dan mendapat persetujuan Ahmad Razif.


Sementara itu, ditanya mengenai kedudukan beliau dalam Umno Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Ramli mengakui tidak akan bertanding dalam apa-apa jawatan dan masih memikirkan masa depan beliau dalam parti itu.


“Saya tidak bercadang untuk bertanding dalam apa-apa jawatan, namun saya sedia untuk membantu jika diperlukan,”katanya.


Dalam pada itu, kedudukan Ahmad Razif sebagai pemimpin utama parti di Kuala Nerus menjadi panas selepas mendapat terdapat gesaan daripada ketua-ketua cawangan agar beliau melepas jawatan yang dipegang sejak 2013 selepas BN mengalami kekalahan teruk pada PRU14 9 Mei lalu.


Terdahulu, Ahmad Razif dalam sidang media pada Ahad lalu memberitahu beliau sedia mengundurkan diri dan memberi laluan kepada muka baharu menerajui bahagian itu dalam pemilihan akan datang.


Menurutnya, ia bagi memberi peluang kepada mana-mana individu terutamanya orang muda, bagi melihat perubahan dalam kepimpinan Umno bahagian.


Bagaimanapun, sekiranya tiada mana-mana pihak yang menawarkan diri untuk bertanding ketua bahagian, dia bersedia memikul tanggungjawab itu sekali lagi.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]