Bank Rakyat rai anak-anak autistik

in Bisnes by


BANK Rakyat meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) bersama kanak-kanak autistik menerusi program Sinar Aidilfitri Dari Hati Ke Hati Bank Rakyat di Kumpulan Media Karangkraf, Jumaat lalu.


Inisiatif itu merupakan kesinambungan program sepanjang Ramadan bagi meraikan kanak-kanak autistik bersama keluarga mereka.


Menurut Ketua Pegawai Modal Insan Bank Rakyat, Mohd Farid Shah Mohd Basir, menerusi program ini, pihak bank telah menjemput seramai 25 kanak-kanak autistik daripada Yayasan Faqeh, Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) San Peng dan Persatuan Autisme Muslim Malaysia untuk bersama-sama berbuka puasa dengan warga kerja Bank dan Karangkraf.


“Bagi berkongsi kemeriahan Aidilfitri, Bank Rakyat bersama Kelab Sukan Bank Rakyat (Kebara) turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak ini.


“Selain itu, kanak-kanak autistik turut menerima sumbangan baju raya yang direka khas oleh pelajar bahagian teknik dan vokasional yang turut berkolaborasi dengan Bank Rakyat bagi menjayakan program ini,” katanya.


Program Sinar Aidilfitri Dari Hati Ke Hati merupakan inisiatif Bank Rakyat bagi berkongsi keceriaan Aidilfitri dengan kanak-kanak autisme serta pada masa yang sama mengurangkan beban keluarga golongan autistik dalam membuat persiapan raya.


Shah Alam menjadi lokasi keempat bagi program Sinar Aidilfitri Dari Hati Ke Hati Bank Rakyat selepas diadakan di Mydin Wholesale Hypermarket Bukit Jambul, Pulau Pinang; Tanjung Lipat, Kota Kinabalu, Sabah; Mydin Petra Jaya, Kuching dan Kuching Waterfront Square, Sarawak baru-baru ini.


Hadir sama pada program itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Mohamed Izam Mohamed Yusof.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]