Dana pembedahan Amzar Yusuf belum cukup

in Edisi Utara by


BUKIT KAYU HITAM – Seorang ibu dari Taman Seri Temin di sini, tidak pernah patah seman–gat berikhtiar untuk merawat anak bongsunya, Amzar Yusuf Mohd Faizal, setahun lapan bulan yang mengalami kegagalan fungsi hati sejak lahir.


Nur Ballkis Afandi, 32, berkata, dia tidak menyangka anaknya menghidap penyakit berkenaan memandangkan anaknya kelihatan aktif dan sihat seperti bayi lain.


“Masa baru lahir tu memang dah ada kuning turun naik, tapi saya tak syak apa-apa, kemudian saya perasan lama sangat kuning dia, warna najis pun jadi pucat jadi saya rujuk doktor.


“Lepas keputusan darah keluar, doktor cakap anak saya tak ada masalah, tapi hati seorang ibu tetap rasa ada sesuatu yang tak kena.


“Sampai la doktor yang kedua tengok keputusan darah tu, baru la dapat kesan rupanya anak saya ada masalah kegagalan hati,” katanya, ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Menurut Ballkis, anak tunggal lelakinya itu kemudian menjalani pembedahan pertama untuk membuang hempedu seminggu selepas disahkan oleh doktor.


“Kalau ikutkan, pembedahan tu dah terlalu lambat sebab dia dah berusia empat bulan masa itu.


“Tiga bulan pertama kita nampak pembedahan itu berjaya, namun selepas itu anak saya mula tunjuk perubahan, mata dan keseluruhan badan mulai kuning balik selain perutnya pun mula membengkak,” katanya.


Menurutnya, beliau sekeluarga sangat gembira apabila sebuah NGO iaitu Nadi Permata tampil menghulurkan bantuan untuk membawa Amzar menjalani pembedahan hati di China.


“Mereka berbesar hati untuk menguruskan pembedahan di sana jadi saya cuma perlu sediakan kos pembedahan sahaja yang menelan belanja sebanyak RM250,000.


“Setakat ini dana yang terkumpul sejak Disember tahun lalu baharu saja mencecah RM43,000, kami masih perlukan RM207,000 untuk bolehkan anak saya jalani pembedahan segera di China.


“Saya dan suami akan usaha selagi boleh walaupun ada juga sesetengah orang yang mempertikaikan kenapa saya nak kumpul duit banyak-banyak kalau dah tau anak sakit macam ni?,” katanya, yang tidak bekerja dan hanya mengharapkan pendapatan suaminya yang bekerja di syarikat swasta.               


Menurutnya, sementara menanti pembedahan dijalankan, anaknya masih berulang alik ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menjalani rawatan susulan.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]