Dr Mahathir pertahan tindakan CEP panggil dua hakim

in Nasional by


TOKYO – JEPUN. Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) yang dilaporkan  memanggil untuk berjumpa dua hakim baru-baru ini.


Bercakap kepada media Malaysia pada hari terakhir lawatan kerja tiga hari beliau ke Jepun, di sini pada Selasa, perdana  menteri berkata pada pandangan beliau, CEP tidak melanggari  bidang kuasanya.


“Saya  tidak fikir begitu. Mereka mempunyai hak untuk bercakap dengan begitu ramai orang yang pada hari ini tidak bersalah sebab mereka masih belum didakwa, Tetapi mereka boleh memberi maklumat yang akan membolehkan kami mengambil tindakan ke atas ramai orang.


“Jika kamu tidak boleh bercakap dengan mereka (CEP), kamu tidak boleh mencadangkan kepada mereka apa yang baik untuk mereka, maka seluruh kumpulan Majlis Penasihat ini seharusnya dibubarkan,” katanya.


Laporan  menyebut bahawa pengerusi  CEP Tun Daim Zainuddin menerima kecaman hebat kerana didakwa memanggil Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan  Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin supaya  menghadiri satu pertemuan, di mana beliau mendesak mereka meletak jawatan.


Dr Mahathir berkata: “Mereka (CEP) membayangkan kepada kedua-dua hakim itu bahawa adalah baik sekiranya mereka meletak jawatan, jika tidak, kerajaan mungkin terpaksa mengambil tindakan untuk menyingkirkan  mereka sebab kami percaya perlanjutan tempoh mereka memegang jawatan sebagai hakim kanan adalah tidak betul.


“Majlis Peguam dan peguam terkemuka yang lain berpendapat perlanjutan seperti itu tiada kewajaran, ia tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kami telah memberi kepada hakim sehingga berumur  65 tahun untuk berkhidmat sebagai hakim, tetapi melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka bermakna menafikan hakim lain peluang untuk kenaikan pangkat,”


Perdana menteri turut ditanya tentang tindakan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik  Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP)  yang keluar daripada Barisan Nasional (BN) Sarawak dan menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS), berpusat di Sarawak.


Dr Mahathir menegaskan GPS bukanlah anggota Pakatan Harapan, yang dipengerusikannya, namun  mereka mengikrarkan sokongan kepada kerajaan Harapan.


“Jadi kami kini mempunyai sokongan yang amat padu di parlimen bukan hanya daripada Ahli Parlimen Harapan,” katanya. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]