Guna pikap seludup minyak

in Edisi by


TUMPAT – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menumpaskan cubaan seludup petrol dan diesel bernilai RM7,080 selepas menahan dua pikap yang sarat dengan muatan 110 tong jerikin berisi minyak, hari ini.


Dalam dua serbuan berasingan di pangkalan haram sebelah surau Simpangan itu turut menahan dua lelaki berusia 30 tahun dan 31 tahun bersama kenderaan Mitsubhishi Triton yang cuba menyeludup petrol ke Thailand kira-kira jam 4 pagi.


Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Reduan Mohidin berkata, trak pikap itu ditahan ketika cuba memunggah tong jerikin ke dalam perahu di tebing sungai tersebut.


“Dalam serbuan itu, seorang lelaki berjaya ditahan dan pemeriksaan lanjut menemui 55 tong jerikin yang setiap satunya mengandungi 30 liter petrol,” katanya.


Menurutnya, dalam serbuan kedua pula selang lima minit di pangkalan haram sama turut berjaya menahan seorang lelaki bersama 55 tong petrol dan diesel.


“Pemeriksaan lanjut menemui 25 tong yang setiap satunya mengandungi 30 liter petrol dan 30 tong setiap satunya berisi 30 liter diesel,” katanya.


Reduan berkata, jumlah keseluruhan rampasan termasuk dua kenderaan bernilai RM112,080 dengan minyak petrol dan diesel sebanyak 3,300 liter.


Katanya, kesemua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Pengkalan Kubor dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]