Hospital Kerian kena siap ikut jadual

in Uncategorized by


PARIT BUNTAR – Projek pembinaan Hospital Daerah Kerian perlu diteruskan dan tidak boleh ditangguhkan lagi memandangkan ianya antara janji dalam manifesto Harapan Perak pada PRU14.


Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sehubungan itu, Kementerian Kesihatan diminta menyegerakan pembinaannya kerana dilihat masih berjalan dengan perlahan.


Menurutnya, pihaknya akur jika kerajaan Pusat menghadapi kekangan kewangan tetapi projek itu masih belum disiapkan dan tidak sewajarnya ditangguhkan lagi.


“Sudah 10 tahun projek hospital itu tertangguh dan hospital lama sedia ada tidak dapat menampung pesakit yang ramai.


“Hospital lama di sini menerima pesakit dari kawasan ini, sebahagian Nibong Tebal dan Bandar Baharu, Kedah yang mendapatkan rawatan di sini.


“Kini, dengan kerajaan baharu mentadbir, saya menggesa hospital baharu ini dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada tahun 2020 atau akhir tahun 2019,” katanya dalam sidang media selepas program santuni pesakit sempena Ramadan di Hospital Parit Buntar di sini, semalam.


Turut hadir Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari dan Exco Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim.


Mujahid berkata, pihaknya akan meminta Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad untuk datang melihat projek ini dan seterusnya memberikan keyakinan kepada penduduk daerah Kerian terhadap komitmen kerajaan baharu untuk menyiapkannya mengikut jadual.


Menurutnya, hospital baharu itu akan mempunyai 76 katil, dibina di kawasan seluas 21 hektar akan dilengkapi dengan pelbagai perkhidmatan perubatan seperti wad bersalin, bilik pembedahan,  ortopedik dan pediatrik di samping kemudahan rawatan pesakit luar dan hemodialisis.


“Ia akan memberikan kemudahan kepada hampir 180,000 penduduk di daerah Kerian.


“Selain itu, hospital lama sedia ada juga menghadapi kekurangan ambulan dan beberapa peralatan lain.


“Jadi, keperluan hospital baharu disiapkan adalah amat mendesak bagi mengurangkan beban kekurangan kakitangan dan peralatan dihadapi hospital lama,” katanya.


Sementara itu, Mujahid turut menegaskan program santuni pesakit dibuat setiap tahun bertujuan meringankan beban yang dihadapi pesakit yang sedang dirawat di sini.


“Kita prihatin dan memberikan sumbangan untuk membantu mereka,” katanya.

 


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]