Ibu tunggal rayu bantuan

in Uncategorized by


SERI MANJUNG – Seorang ibu tunggal terpaksa berdepan masalah kewangan apabila suaminya yang menjadi tulang belakang menyara keluarga meninggal dunia awal bulan ini.


Fatimah Mat Noor, 44, yang tinggal di Kampung Dato’ Seri Kamaruddin (KDSK) di sini tidak bekerja kerana mengalami beberapa masalah kesihatan.


Arwah suaminya, Ahmad Anis Abdul Ghani, 43, meninggal dunia pada 2 Jun lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.


Fatimah berkata, dia kini buntu kerana masih perlu menyara lima daripada enam anaknya sedangkan dia sudah tidak mampu untuk bekerja.


“Saya mempunyai enam anak berusia antara 8 tahun hingga 23 tahun tetapi anak sulung sudah berkahwin dan ada keluarga sendiri manakala lima lagi anak masih di bawah tanggungan terutama empat anak yang masih bersekolah.


“Ketika arwah suami masih ada, dia yang menguruskan perbelanjaan keluarga dengan hasil pendapatan sebagai tukang kebun di sebuah institusi kemahiran di sini.


“Setelah arwah meninggal saya sendiri tidak tahu bagaimana mahu mencari pendapatan dan kini kami hanya bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan (bantuan persekolahan),” katanya ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa dan sumbangan kepada anak yatim anjuran Koperasi Persalam bersama Ahli Parlimen Lumut dan Adun Pasir Panjang kelmarin.


Fatimah berkata, dia mengalami masalah kesihatan termasuklah mengalami strok minor melibatkan anggota badan di sebelah kanan.


“Pergerakan saya di sebelah kanan terbatas disebabkan strok dialami sejak lima tahun lalu.


“Saya juga menghidap talesemia dan penyakit ini diwarisi pula kepada anak bongsu saya Nur Aishah Shahmimi,8, dan kami terpaksa berulang-alik ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya yang turut mempunyai seorang anak orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran.


Katanya, perasaan sedih semakin terasa apabila kadang-kala tidak mampu memberi wang belanja persekolahan anak-anak disebabkan tidak ada duit.


“Pernah anak-anak ke sekolah tidak membawa wang saku kerana saya sudah tidak ada duit, tapi saya tidak mampu lakukan apa-apa memandangkan saya sendiri tidak bekerja.


“Anak yang kedua juga tidak bekerja kerana perlu menjaga saya serta adik-adiknya di rumah memandangkan keadaan kesihatan diri saya juga tidak menentu,” katanya.


Fatimah berkata, persiapan hari raya juga tidak dilakukan memandangkan mereka tidak mempunyai sumber kewangan.


“Persiapan hari raya memang kami tidak buat, tapi anak-anak bernasib baik kerana ada pihak bagi bantuan termasuk memberi baju baru untuk dipakai di hari raya.


“Rezeki bulan puasa juga agak murah kerana ramai menghulurkan sumbangan termasuk duit raya dan barangan makanan harian.


“Namun saya risau untuk bulan seterusnya di mana kami mahu mencari duit untuk perbelanjaan rumah serta membayar bil elektrik serta bil air,” katanya.


INFO


Mereka yang mahu menghulurkan sumbangan kepada keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Fatimah Mat Noor melalui nombor akaun 0822041000096616.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]