Khairy terima keputusan BN Sarawak

in Politik by


SHAH ALAM – Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin akui menerima secara terbuka dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang membuat keputusan meninggalkan BN.


Menurutnya, semua ahli Umno dan komponen parti BN juga seharusnya menerima keputusan tersebut tanpa berkecil hati.


“Walaupun keputusan itu bermakna BN Sarawak yang telah dibina selama lebih setengah abad ini telah berakhir, saya memahami kenapa rakan-rakan kita di Sarawak terpaksa mengambil keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Sebelum ini, PBB, PRS, PDP SUPP sebulat suara mengumumkan keluar daripada BN.


Pada masa sama, Abang Johari Tun Openg yang mengumumkan perkara tersebut berkata keempat-empat parti tersebut akan menubuhkan gabungan baharu iaitu GPS.


[ ARTIKEL BERKAITAN: Empat parti komponen umum keluar BN Sarawak ]


Katanya, keputusan sama yang dibuat oleh beberapa parti termasuklah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) juga tidak dinafikan memberi impak besar terhadap Umno.


“Keputusan ini memberi impak yang besar dalam kita merangka struktur dan rupa bentuk baharu Umno serta hubungan kita dengan rakan komponen BN di Semenanjung dan Sabah.


“Saya berharap, perbincangan ini akan dibuat berlandaskan senario baharu politik Malaysia di mana kita sedia bekerjasama dengan rakan-rakan di Sarawak walaupun mereka tidak kembali menyertai BN secara rasmi di masa hadapan,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]