KPI ATM berdasarkan ketenteraman awam

in Edisi by


RANTAU PANJANG – Pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dikira berdasar ketenteraman awam dan keselamatan penduduk.


Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Azizan Md Delin berkata, perkara utama ialah keselamatan penduduk disusuli KPI berhubung rampasan serta tangkapan pendatang asing tanpa izin (Pati).


Sepanjang seminggu operasi dijalankan, Pasukan Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja (5RRD) berjaya membuat rampasan bernilai lebih RM23,000 dan menahan 13 Pati.


Menurutnya, ia membabitkan 11 rampasan barang bersama tuan (RBBT) dan 49 rampasan barang tanpa tuan (RBTT).


“Menerusi Op Merpati kawasan tanggung jawab 8Bridged dan Op Wawasan Kelantan ini, kita berjaya merampas beras, daun ketum dan diesel.


“Saya mengucapkan syabas kepada semua anggota, walaupun bertugas ketika Ramadan malah Syawal yang semakin hampir, mereka mampu menjaga sempadan Negara dengan baik,” katanya, selepas Majlis berbuka Puasa di Kem To’ O, malam semalam.


Hadir sama, Panglima 2 Divisyen, Mej Jeneral Datuk Ramli Jaafar.


Azizan berkata, pihaknya turut melancarkan tugas menjaga kedaulatan Negara bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.


Sebelum ini beliau turut meninjau dan menyampaikan sumbangan hari raya kepada anggota pos tentera antaranya Pos Ular, Kuala Jambu, Ibrahim Pencen, Jeram Perdah dan To’ O.


Azizan turut berbuka puasa dan menunaikan solat fardu serta terawih bersama anggota di Pos To’ O.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]