Landasan Pulau Tioman: Pas bantah jika…

in Nasional by


SHAH ALAM – Pas  membantah cadangan pembinaan landasan lapangan terbang baharu di Pulau Tioman, Pahang yang ditawarkan Kumpulan Berjaya sekiranya ia melibatkan penambakan laut.


Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun tawaran itu disifatkannya sebagai sangat menarik, tetapi ekologi pulau itu seharusnya dijaga supaya tidak meninggalkan kesan besar kepada keadaan pantai serta lautan.


“Keindahan Pulau Tioman sebagai salah satu pulau tercantik di dunia yang menjadi tumpuan pelancong kerana kecantikan batu karangnya perlu dipelihara.


“Tindakan membina satu lapangan terbang untuk pesawat yang lebih besar sehingga terpaksa dilaksanakan tambakan laut akan merosakkan segala yang ada,” katanya dipetik menerusi catatan di laman sosial Facebook peribadinya, hari ini.


Tuan Ibrahim berkata, Kerajaan Pahang perlu bertegas menjaga keindahan dan keselamatan Pulau Tioman.


“Ia adalah aset pelancongan Pahang yang sangat bernilai kerana keindahannya. Jangan hanya melihat dari aspek ekonomi semata-mata segalanya tergadai,” katanya.


Menurutnya, jika ingin melaksanakan projek membesarkan lapangan terbang di Pulau Tioman, cara baru perlu diterokai.


“Cadangan baru itu perlu memenuhi laporan penilaian kesan kepada alam sekitar (EIA),” katanya.


Khamis lalu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan berkata, pihaknya mengemukakan permohonan untuk pembinaan landasan kapal terbang di Pulau Tioman yang akan dibangunkan menggunakan perbelanjaan sendiri dianggarkan sekitar RM1.1 bilion ke RM1.2 bilion.


Vincent berkata, pihaknya memerlukan persetujuan dan tanah untuk tujuan pembinaan tersebut.


Apabila siap, lapangan terbang itu akan diserahkan kepada kerajaan kelak untuk diuruskan.


Difahamkan,  cadangan pembinaan landasan kapal terbang di Pulau Tioman bermula sejak 2003 lagi, namun ia dibatalkan pada 2009 atas alasan kebimbangan kerosakan alam sekitar.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]