Peluang bangunkan Jempol, Kuala Pilah

in Edisi by


JEMPOL – Kerajaan negeri sedang mencari pemaju yang berpotensi membangunkan Negeri Sembilan Timur melibatkan daerah Jempol dan Kuala Pilah.


Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Teo Kok Seong berkata, perkara tersebut antara salah satu janji Pakatan Harapan (Harapan) pada PRU14 lalu.


“Kita sedang mencari pemaju yang berpotensi masuk ke Jempol dan bangunkan Bahau, Batu Kikir serta Serting. Apa yang kita lihat projek sebelum ini telah mendapat kelulusan namun hasil siasatan awal, terdapat pemaju yang tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup.


“Antara penyelesaiannya, kita akan kenal pasti mana-mana pihak yang boleh kolaborasi menjalankan projek ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Raya dan Meraikan Anak-anak Yatim di Ekspo Gegar Raya Tesco Bahau, malam kelmarin.


Program anjuran Kelab Peniaga Kecil Kecilan Jempol itu turut dihadiri Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol, Datuk Zazali Salehudin.


Dalam pada itu, Kok Seong yang juga Adun Bahau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti terdapat dua projek terbengkalai berskala besar di Negeri Sembilan.


“Berdasarkan laporan yang kita terima setakat ini adalah projek perumahan yang membabitkan lebih 500 unit rumah.


“Isu terbengkalai ini bukan sahaja membabitkan kos tetapi imej kawasan berkenaan dan banyak lagi perkara lain berkait. Kita akan kaji juga dari pelbagai sudut supaya mana-mana projek terbengkalai ini dapat diteruskan semula,” katanya.

 


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]