'Penjelasan mengenai MAPS pada rumah terbuka 1 Syawal'

in Edisi by


IPOH – Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Perak yang akan diadakan di Movie Animation Park Studios (MAPS) pada 1 Syawal ini komitmen kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) untuk memperbetulkan kesilapan yang telah dilakukan di taman tema berkenaan.


Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya mengambil langkah sedemikian bagi memberi peluang kepada orang ramai terutamanya rakyat di negeri untuk memahami masalah sebenar yang berlaku di taman tema itu.


“Saya ingin menunjukkan kepada orang ramai bahawa saya amat komited untuk memperbetulkan apa juga kesilapan yang telah dibuat di tempat itu dan kita akan memperbaiki dan memperbetulkannya.


“Insya-ALLAH, ia akan dapat kita selesaikan (masalah yang dihadapi) dalam masa yang terdekat supaya taman teman itu akan menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara seterusnya menjadi kebanggaan rakyat Perak,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi wawancara bersama Perak FM untuk promosi Hari Raya kerajaan negeri di Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, semalam.


MAPS yang terletak di Meru Raya di sini dibuka pada 26 Jun 2017 dibina di kawasan seluas 21 hektar dengan terdapat lebih 40 tarikan unik dan enam tema animasi terkemuka dunia.


Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, beliau menjangkakan kira-kira 20,000 pengunjung akan hadir ke sambutan rumah terbuka berkenaan yang akan bermula pada jam 3 hingga 6 petang. – Bernama


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]