Produk kosmetik tidak berdaftar bernilai RM1j dirampas

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU- Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merampas produk dan kosmetik tidak berdaftar serta tanpa notifikasi bernilai hampir RM1,000,000 dalam satu operasi ‘Ops Up’ di Dungun, pada 6 Jun lalu.


Pengarahnya, Dr Mohammad Omar berkata, serbuan di dua premis di Dungun dilakukan susulan aduan dan maklumat orang awam berkenaan penjualan satu produk ‘Heigh Up’ yang boleh meningkatkan ketinggian badan manusia di laman sosial.


Beliau berkata, selain mempromosikan di Facebook, pihak syarikat juga didapati menggunakan khidmat beberapa artis terkenal tanah air mempromosikan produk untuk menarik pengguna membeli produk berkenaan.


“Dalam operasi oleh tujuh anggota penguatkuasa Farmasi, selain produk ‘Height Up’, kita berjaya menemukan dan merampas empat produk untuk mencerahkan kulit dan satu produk kesihatan bagi tenaga seksual lelaki disyaki tidak berdaftar.


“Kesemua produk dan kosmetik yang bernilai hampir RM1,000,000 dirampas dan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952,” katanya kepada pemberita pada satu sidang media di sini, hari ini.


Selain itu, Dr Mohammad menasihatkan kepada orang awam agar tidak menggunakan produk-produk yang tidak berdaftar atau kosmetik yang tidak bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.


“Orang awam juga boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk atau notifikasi kosmetik melalui laman sesawang http://npra.moh.gov.my / atau hubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.


“Selain itu, orang ramai digalakkan untuk mengemukakan aduan bagi produk yang meragukan di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di laman web http://www.pharmacy.gov.my atau http://moh.spab.gov.my. atau di talian 03-78413200,” katanya.


Sementara itu, Dr Mohammad berkata, JKNT dapati ada syarikat jualan produk atau kosmetik tidak berdaftar tidak takut mengulangi kesalahan sama meskipun sebelum ini pernah dikenakan tindakan undang-undang kerana disebabkan memperoleh keuntungan berlipat kali ganda.


“Sebagai contohnya, kita dapati ada sesetengah produk hanya perlu mengeluarkan produk RM10 tetapi dijual kepada pengguna dengan harga RM200.


“Selain itu, permintaan terhadap produk dilarang itu sangat tinggi dan sering mendapat perhatian daripada pengguna hari ini mungkin disebabkan pengaruh promosi dibuat di media sosial dan sebagainya,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]