Salbella Collection cetusan idea terkini dan elegan

in Bisnes by


KAPITAN gunting yang menyusuri kain dan kadang-kala diselangi mesin jahit menjadi peneman setia suri hati kepada Pegawai Eksekutif Sabella Holdings Sdn Bhd, Mohd Sufian Sulaiman sejak beberapa tahun lalu. Itulah detik bermulanya perjalanan perniagaan butik Sabella Collection.


Siti Fatimah Abd Samat yang menjadi tulang belakang kepada perniagaannya sanggup bersengkang mata tanpa mengira masa meneliti rekaan dan potongan kain yang sesuai, jahitan serta sulaman untuk menghasilkan fesyen Muslimah yang menepati kehendak pasaran.  


“Ini adalah pilihan yang tepat selepas kami melalui pelbagai jenis perniagaan sebelum ini. Impian isteri memiliki butik sendiri dan menempa nama dalam pasaran tempatan tak boleh dipandang enteng kerana keyakinannya memberikan suntikan baru kepada kami sekeluarga.


“Jika isteri menguruskan dalam bidang pengeluaran dan memastikan setiap jahitan menepati piawaian yang ditetapkan, saya pula bergelar pelukis rekaan fesyen Muslimah dalam syarikat sendiri,” katanya.  


Katanya, gabungan tersebut meletakkan jenama Sabella Collection sebaris jenama butik lain dan terkenal sama ada di platform media sosial dalam kalangan pencinta fesyen tempatan.


Sabella menyediakan pelbagai rekaan Muslimah tempatan antaranya rekaan moden baju kurung, jubah, dan rekaan moden cetusan idea yang terkini dan elegan.


“Tumpuan dan konsep utama kami adalah rekaan moden fesyen mewah untuk wanita. Kami masih mengekalkan tradisi yang penuh kelembutan dan kesopanan,” katanya.


Hijrah ke Kuala Lumpur


Mengimbas kembali pembabitan dalam bidang perniagaan fesyen, menurut Mohd Sufian, dia sebenarnya merupakan seorang pelukis pelan projek pembangunan bagi sebuah syarikat korporat dan mengambil keputusan bekerja sendiri.


“Pada peringkat permulaan bermodalkan RM5,000 kami mencuba dalam bidang perniagaan sabun dengan harapan ia akan memberikan pulangan yang lumayan. Isteri masih menjadi tukang jahit.


“Malangnya, tanpa ilmu perniagaan, Mohd Sufian dan isterinya gagal dalam memasarkan sabun dan mereka terpaksa menanggung kerugian pada 2011 hingga 2012,” katanya.


Dari Terengganu mereka berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mengejar cita-cita bertujuan mengubah kehidupan mereka sekeluarga. Sepanjang bekerja makan gaji, Mohd Sufian tidak mencapai kepuasan yang diinginkan.


Bagaimanapun, kegagalan itu tidak mematahkan semangat pasangan suami isteri ini untuk mencuba sesuatu yang baharu untuk meneruskan kehidupan mereka. Berbekalkan modal yang ada, mereka meneruskan perniagaan jahitan bermula dari rumah sahaja.


Melihat kepada kesungguhan Siti Fatimah yang mengimpikan memiliki jenama sendiri, beliau yang bekerja sebagai pelukis pelan sentiasa memberikan sokongan kepada isterinya.  


“Saya bertanya kepada isteri, sampai bila kami harus hidup dalam keadaan begini kerana setiap bulan gaji yang diterima tidak mencukupi, malah semakin terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin meningkat di bandar raya.


“Kami berbincang untuk mengubah cara hidup atau mencari alternatif lain untuk menambah pendapatan kerana tujuan kami berpindah ke ibu kota adalah untuk mengubah kehidupan yang lebih baik,” katanya.


Beliau berkata, semakin hari isterinya menerima tempahan pelbagai jenis rekaan baju dan langsir, malah menerima maklum balas yang positif daripada pelanggan.


“Nasib menyebelahi kami apabila Siti Fatimah yang memiliki pengalaman sebagai tukang jahit dan rajin mengambil upah menjahit pakaian memberikan suntikan baharu kepada kami untuk mengembangkan perniagaan sendiri,” katanya.


Bermula dari situ, beliau membantu isterinya secara aktif dengan mempromosikan koleksi pakaian mereka.


“Kami mula mencari idea jenama koleksi pakaian dan hasilnya ialah menggabungkan nama anak kami menjadi Sabella Collection yang menampilkan fesyen pakaian Muslimah berkonsepkan trendy serta mewah tetapi dijual pada harga berpatutan.


“Kami beruntung mempunyai adik-beradik yang memahami dan membantu kami, mereka menjadi model bagi memperagakan koleksi pakaian sulung kami dengan menggunakan platform media sosial untuk mempercepatkan penyebaran maklumat dan gambar kepada kenalan serta pelanggan.


“Alhamdulillah, usaha kami berjaya dan di situlah bermulanya langkah kami untuk mengorak lebih rancak dalam bidang fesyen dan pemasaran,” katanya.


Mohd Sufian berkata, bermula hanya memiliki 10 pengedar, kini jumlahnya bertambah kepada 500 pengedar termasuk dropship.


“Jika pada 2016, hanya empat koleksi diperkenalkan, kini syarikat memiliki 30 koleksi yang menggunakan material jenis satin mosscrepe dan comocrepe,” katanya.


Miliki bengkel sendiri


Tanpa menoleh ke belakang lagi, Mohd Sufian mula mengembangkan perniagaannya dengan memiliki butik dan bengkel sendiri di Taman Permata, Ampang.


“Sebelum ini, kami hanya beroperasi di rumah, namun selepas menerima permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan, kami mengambil keputusan menjalankan operasi kami di bengkel dan mempunyai 20 20 tukang jahit serta dua pereka dalaman,” katanya.


Menurutnya, kapasiti pengeluaran pakaian di bengkelnya ialah kira-kira 1,000 pasang pakaian sehari dan ia memenuhi permintaan pelanggan dari seluruh negara.


“Kami memfokuskan pelbagai jenis rekaan koleksi fesyen Muslimah bertaraf premium pada harga berpatutan iaitu antara RM60 sehingga RM119 sepasang dan ia sesuai untuk mereka yang bersaiz S hingga bersaiz 5XL.


“Koleksi pakaian berwarna lembut dan pastel, malah 80 peratus daripada pelanggan kami terdiri daripada mereka yang berkerjaya serta berkeluarga. Pelanggan berpuas hati dan selesa setiap kali memperagakan koleksi Sabella Collection,” katanya.


Syarikatnya menyasarkan nilai jualan berjumlah RM5 juta menjelang akhir tahun ini dipacu oleh promosi yang agresif dan rekaan pelbagai koleksi eksklusif dan berkualiti. Apa yang ditawarkan memberikan pemakainya kelihatan elegan dan anggun.  “Kami optimis dengan kualiti produk yang ditawarkan dan turut bekerjasama dengan jenama butik terkemuka lain, ia akan memacu jualan kami pada tahun ini. Kami tidak melihat persaingan sengit dalam industri sebagai cabaran besar dalam mengembangkan empayar perniagaan tetapi ia adalah pembakar semangat untuk kami berjaya,” katanya.


Mereka yang menjadi pengedar dan mendapatkan maklumat lanjut mengenai koleksi dan rekaan Sabella Collection, mereka boleh menghubungi syarikat tersebut.


Source: SH Bisnes

[featured-video-plus]