'Tak puasa sebab tangan sakit'

in Edisi Utara by


KUALA KETIL- Alasan tidak sempat menghirup kopi diberikan seorang lelaki berusia 68 tahun ketika ditahan dalam operasi khas Ramadan hari ini tidak melepaskannya daripada tindakan.


Ketika disoal anggota penguatkuasa, dia mengaku sudah menjelaskan bayaran minuman berharga 70 sen itu.


Malah, warga emas itu memaklumkan dua kali tidak berpuasa sebelum ini.


Alasannya tidak berpuasa hanya semata-mata kerana sakit tangan.


Penolong Pegawai Agama daerah Baling ,Syeikh Mohd Rasydan A Rahman berkata, pihaknya mengeluarkan saman terhadap lelaki tersebut di atas Seksyen 14 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah.


“Di sebuah kedai non Muslim ada seorang yang agak berumur, minuman dipesan pun sudah sampai di atas meja cuma tidak sempat untuk minum.


“Kita ambil juga kes tersebut kerana dia cuba membatalkan puasanya,” katanya kepada Sinar Harian selepas tamat serbuan.


Menurutnya, jika disabitkan kesalahan lelaki itu boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjarakan kurang daripada enam bulan.


Beliau berkata, serbuan diketuai Pejabat Agama Islam daerah Baling di lima lokasi sekitar Kuala Ketil itu  melibatkan kerjasama Skuad Al- Ansar, Skuad Ramadan Khas, Pejabat Agama Islam daerah Kuala Muda dan Skuad Khas Ramadan.


“Dalam operasi hari ini, ada dua, tiga lokasi kita pernah datang, manakala baki lokasi lain ialah kali pertama.


“Bagaimanapun, lokasi pertama kali kita datang pun memang sudah tidak lagi beroperasi,” katanya.


Mohd Rasydan berkata, umat Islam yang masih terlibat dengan aktiviti tidak menghormati bulan Ramadan disaran kembali kepada agama.


“Taubatlah dan latihlah diri kita untuk taat kepada perintah ALLAH kerana ia menjamin kebahagiaan hidup.


“Saya juga nak nasihat, tinggallah tabiat untuk jual kepada orang tidak berpuasa. Hasil kita dapat tidak berkat dan tidak membawa manfaat dunia, akhirat,” katanya.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]