Tipu pakej umrah: Mangsa rugi hampir setengah juta ringgit

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Seramai 118 mangsa dianggarkan mengalami kerugian hampir setengah juta ringgit apabila mereka ditipu sebuah syarikat yang menawarkan pakej umrah bercawangan di Kemaman, Terengganu.


Bagaimanapun, daripada 118 mangsa, hanya 23 orang memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna (TTPM) setelah syarikat terbabit gagal mematuhi award yang dikeluarkan untuk membayar balik wang yang dijelaskan penuntut (mangsa).


Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, ekoran kegagalan itu, pemilik syarikat yang beroperasi di Perak, disiasat dibawah Seksyen 117 (1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 iaitu gagal mematuhi award TTPM.


Menurutnya, jumlah keseluruhan wang melibatkan 23 penuntut itu adalah sebanyak RM110,100.


“Setelah beberapa kali perbicaraan dijalankan, dan yang terbaharu pada 11 Jun, Mahkamah Majistret Kemaman telah menjatuhkan hukuman¬† di bawah Seksyen 117 (2) Akta Perlindungan Pengguna 1999.


“Bagi kesalahan itu, denda RM7,400 dikenakan bagi setiap pertuduhan dan jika tidak bayar, akan dipenjara tiga bulan,”katanya kepada pemberita pada Sidang Media berhubung kes itu di pejabatnya, di sini, hari ini.


Denda keseluruhan bagi 23 pertuduhan adalah RM170,200 dan jika tidak dibayar, hukuman penjara lima tahun sembilan bulan bakal dikenakan.


Saharuddin berkata, tujuh lagi kes membabitkan syarikat sama sedang disiasat melibatkan anggaran kerugian RM27,000.


Sehubungan dengan itu, KPDNKK mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati memilih agensi yang menawarkan khidmat pakej umrah atau pelancongan.


Masyarakat juga perlu memastikan agensi yang dipilih adalah agensi yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan Malaysia.


Agensi yang menawarkan khidmat pakej umrah dan pelancongan diingatkan juga supaya mematuhi peraturan-peraturan yang berkuatkuasa dan tidak mengambil kesempatan kepada pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan daripada mereka.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]