'Tun M bukanlah seorang diktator'

in Nasional by


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak boleh disifatkan sebagai diktator kerana beliau wakil rakyat dipilih rakyat.


Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Datuk Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob berkata, maksud ‘diktator’ mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka adalah pemerintah mutlak, terutama yang merampas kuasa tanpa mengikut perlembagaan dan menggunakannya secara zalim.


“Rakyat negara diperintah diktator jarang-jarang mempunyai kebebasan asasi, di mana pemerintahan ini mengambil rupa bentuk kerajaan satu parti atau tentera.


“Namun, Dr Mahathir tidak meminggirkan perlembagaan dan tidak pula berlaku zalim. Rakyat di negara ini mempunyai kebebasan asasi, dan negara ini tidak diperintah oleh satu parti atau tentera. Dr Mahathir tidak mempunyai kuasa mutlak dalam pemerintahan,” katanya dalam kenyataan, semalam.


Beliau sebagai rakyat biasa tidak suka melabel seseorang itu dengan gelaran, apatah lagi menyatakan yang tidak benar.


“Pada pandangan saya, Dr Mahathir bukanlah seorang diktator, dan beliau telah banyak berubah daripada dahulu.


“Lain hulu lain parang, pauh ditanam atas bukit, lain dahulu lain sekarang, jauh berbeza bukan sedikit,” katanya merujuk kenyataan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menganggap Dr Mahathir masih orang sama seperti sebelumnya, cuma memakai baju lain.


Malah, Tengku Razaleigh turut menjawab sinis ‘Dia bukan diktator?’ ketika ditanya mengenai Dr Mahathir menafikan dirinya sebagai diktator.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]