
KUANTAN – Pembinaan loji rawatan air berasingan untuk keperluan industri antara cadangan penyelesaian jangka panjang bagi mengelak krisis bekalan air di kawasan perindustrian termasuk di Gebeng di sini pada masa akan datang.
Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, keperluan air industri di negeri ini sentiasa meningkat seiring perkembangan industrinya.
Menurutnya, usaha itu sebenarnya bertujuan menjaga kepentingan pengguna industri supaya terus berkembang.
Katanya, cadangan berkenaan turut mengambil kita kepentingan pengguna air domestik.
“Cadangan ini diajukan pada perjumpaan antara ahli Kumpulan Sokongan industri Gebeng hari ini (semalam) dan kita mencari jalan penyelesaian jangka panjang dan jangka pendek mengelak krisis air di kawasan perindustrian terjejas hingga merugikan pengusaha dan pelabur.
“Ia rentetan aduan Pengerusi Kumpulan Sokongan Industri Gebeng, Syed Ahmad Syed Idrus AlHabshi yang mendakwa pihaknya mengalami kerugian kira-kira RM 65 juta akibat gangguan bekalan air pada pertengahan hingga penghujung Mei lalu.
“Kira-kira10 kilang terutama melibatkan industri kimia dan polimer terjejas sehingga ada yang terpaksa menghentikan operasi sementara waktu akibat masalah air,”katanya selepas perjumpaan itu di Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Wisma Sri Pahang di sini, semalam.
Mesyuarat dihadiri antaranya wakil Kumpulan Sokongan Industri Gebeng, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip), Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).
Fuziah berkata, gangguan air yang berlaku baru-baru ini dikenal pasti disebabkan dua faktor utama iaitu cuaca panas dan kering serta kerosakkan struktur ban saliran Sungai Kobat.
“Keadaan itu menyebabkan paras air sungai meyusut dan kebanyakan kawasan mengalami masalah tekanan air rendah.
“Masalah ini menjejaskan pengguna domestik dan pengguna industri sehingga mengalami kerugian besar,”katanya.
“Jadi, untuk penyelesaian jangka pendek, beberapa cadangan dikemukakan antaranya membaiki ban berkenaan supaya takungannya mampu membekalkan air secukupnya untuk muka sauk Kobat dan diselenggarakan secara berkala.
“Langkah ini perlu disegerakan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya kemarau akan datang.
“Bagi tujuan ini satu kertas kerja akan di sediakan pihak JPS dalam tempoh dua minggu sebelum dibawa kepada kementerian kewangan untuk kelulusan peruntukan yang dijangka mencecah RM10 juta.,”katanya.
Katanya, selain itu turut dicadangkan agar takrif air industri dinaikkan bagaimanapun isentif diberikan kepada pihak industri yang mengitar semula penggunaan air mereka.
“Jadi kita harap kerajaan negeri juga memberi reaksi positif supaya semua pihak dapat berkerjasama dan mainkan peranan bagi menyelesaikan masalah ini,”katanya.
Source: SH Edisi
[featured-video-plus]