Elak tudung corak ‘dreamcatcher’

in Nasional by


SHAH ALAM – Memakai tudung dengan corak dreamcatcher menjadi trend sesetengah wanita Islam mutakhir ini.


Namun, timbul tanda tanya susulan corak itu adalah simbol kepercayaan masyarakat Red Indian.


Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui tulisannya di laman rasmi Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, dreamcatcher pada asalnya satu alat yang menjadi kepercayaan kuno penduduk asli Amerika.


“Namun,  kepercayaan ini boleh disifatkan hampir luput pada masa kini dan bertukar menjadi barangan kraf yang dibuat bagi tujuan komersial,” katanya.


Bagaimanapun katanya,  di dalam Islam terdapat larangan menyerupai pakaian orang kafir.


“Rasulullah SAW melarang umat Islam menyerupai golongan kafir dalam hal yang merupakan identiti atau lambang atau syiar agama mereka.


“Berdasarkan penelitian para ulama terhadap nas-nas al-Qur’an dan al-Sunnah, salah satu bentuk penyerupaan dengan orang kafir dilarang ke atas umat Islam adalah pada pakaian,” katanya.


Katanya, menurut sebahagian pendapat dalam Mazhab Hanafi, Maliki dan jumhur Mazhab Syafie, menyerupai pakaian menjadi syiar orang kafir, dihukumkan kafir.


“Begitu juga orang yang memakai pakaian khas paderi Kristian, ia dihukumkan kafir kecuali jika memakainya sebagai helah dalam peperangan, ia tidak dihukumkan kafir,” jelasnya.


Bagaimanapun, Zulkifli berkata, sesetengah ulama Mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie mengatakan, sesiapa mengenakan pakaian khas orang kafir, tidak jatuh kafir kecuali jika ia beriktikad dengan iktikad kufur itu.


Manakala, Mazhab Hanbali pula mengatakan haram memakai pakaian bukan Islam merupakan syiar agama mereka.


“Bagaimanapun terdapat juga pendapat memakai tudung  motif dreamcatcher tidak sampai ke tahap menyerupai agama lain  kerana ia tidak pernah menjadi pakaian khas merujuk kepada agama lain seperti salib,” katanya.


Namun, katanya, umat Islam dinasihatkan lebih berhati-hati bagi elak timbul fitnah ke atas orang yang menjual dan memakainya.


“Jadi, lebih baik memilih alternatif lain yang tidak mengandungi apa-apa kontroversi dan lebih selamat,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]