Henti pertikai tindakan MB Perak

in Uncategorized by


TAIPING – Kerajaan negeri diminta tidak melayan provokasi pihak tertentu khasnya isu pelantikan bekas pemimpin Umno ke dalam pentadbiran sebaliknya memberi tumpuan mendedahkan sebarang penyelewengan pimpinan sebelum ini.


Ketua Bersatu Bahagian Bukit Gantang, Datuk Shaharuddin Abdul Rashid berkata, semua pihak perlu berhenti mempertikaikan tindakan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu termasuk isu pelantikan Datuk Zainol Fadzi Paharudin sebagai penasihat menteri besar.


Katanya, terdapat agenda lebih besar yang perlu difokuskan kerajaan Harapan Perak selepas PRU-14 lalu.


“Sebelum PRU14, terdapat dakwaan mengatakan ada ketirisan berlaku dalam kerajaan terdahulu. Rakyat mahu tahu tindakan kita dan rakyat menanti keberkesanan cara dan pendekatan kita.


“Antaranya kerugian dan kelemahan dalam urus tadbir beberapa syarikat di bawah kerajaan negeri sehingga ada pihak mendakwa Perak sebagai negeri kedua termiskin. Perkara sebegini perlu didedahkan kepada rakyat.


“Harapan diberi kepercayaan oleh rakyat dengan menolak BN dan mahukan perubahan total membabitkan dasar, sistem dan kaedah urus tadbir. Kita mahukan perubahan, bukan peralihan,” katanya dalam sidang media khas, di sini, pagi semalam.


Tambahnya, penyertaan dua Adun itu dalam pentadbiran kerajaan negeri tidak perlu dipertikaikan kerana tanpa mereka kemungkinan Harapan tidak boleh membentuk kerajaan negeri.


“Sudah jelas kita berkuasa atas angka dan mereka memberi makna pada angka itu. Kita ucapkan terima kasih kepada mereka kerana tanpa penyertaan mereka, barangkali kita hadapi masalah untuk bentuk kerajaan negeri.


“Ini bermakna perkara tersebut telah selesai. Untuk masa depan, kita mahu pimpinan negeri lebih mesra kepada pergerakan dan agenda Harapan itu sendiri.


“Kita mahu ketempangan dan kelemahan dalam urus tadbir sebelum ini dibetulkan, dibaiki dan sebarang penyelewengan kerajaan terdahulu disiasat,” tegasnya.


Dalam perkembangan lain, Shaharuddin meminta siasatan ke atas Datuk A Kadir Jasin dihentikan kerana artikel dalam blognya bukanlah isu besar yang boleh menggugat keselamatan negara.


Menurutnya, isu tersebut perlu dilihat secara rasional kerana ia sebagai manifestasi kebebasan awam malah ruang bicaranya adalah betul kerana menyuarakan pendapat amalan demokrasi.


“Kita tak perlu mencari kontroversi dalam hujahnya melainkan bagi mereka yang dangkal dalam kemampuan berhujah menggunakan cara lama.


“Kadir Jasin juga tidak perlu letak jawatan Ketua Media Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan.


“Kita harap beliau terus berkarya dalam usaha mendidik masyarakat agar lebih positif dan berkemampuan berhujah dalam disiplin ilmu,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]