Henti polemik politik Kedah

in Edisi Utara by


ALOR SETAR – Kenyataan Pas yang membayangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlaku di Kedah menyerlahkan sikap sebenar parti itu yang tidak memahami kehendak rakyat selain dilihat tamak kuasa melalui cara tidak betul.


Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Pas harus menerima kenyataan kemenangan Pakatan Harapan di Kedah dengan 18 kerusi, diikuti Pas (15) dan BN (3).


Menurutnya, Pas seakan gila kuasa untuk turut memerintah Kedah dengan mencadangkan sebuah kerajaan perpaduan di Kedah sebelum ini, namun cadangan itu ditolak Kerajaan Kedah.


“Setelah cadangan ditolak, Pas masih tidak berputus asa meminta pula jawatan speaker Dun Kedah.


“Sudah tentu oleh kerana tidak logik dan tiada asas langsung untuk mereka berbuat demikian, sekali lagi kerajaan Kedah menolak cadangan itu,” katanya.


Tambahnya, Pas Kedah turut menamakan Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi sebagai calon speaker.


“Ekoran itu, dengan nada ugutan mereka bayangkan akan berlakunya PRN apabila pemilihan speaker akan berakhir dengan undian 18/18.


“Kami sudah tentu miliki 18 undi dan Pas pula 15 undi, mereka mengharapkan tiga undi dari BN untuk mencukupkan 18 undi itu agar menjadi status berbelah bahagi,” katanya.


Dr Ismail berkata, memandangkan BN dalam keadaan kritikal dengan minimum tiga kerusi Dun dan pada masa sama Pakatan Harapan menguasai kerajaan Pusat, kemungkinan untuk BN menyokong Pas adalah terlalu kecil.


“Peluang undian menjadi 18/18 hampir mustahil. Jadi saya mohon Pas hentikan polemik ini.  Kalau Pas benar-benar ikhlas, buatlah kerajaan perpaduan di Kelantan atau Terengganu terlebih dahulu,” katanya.   


Menurutnya, Pas hendaklah menghormati pilihan rakyat yang membuat keputusan pada PRU14, dan kini adalah masa untuk wakil rakyat bekerja.


“Ini masa untuk kita mengisi harapan rakyat dengan membuat persembahan terbaik dari aspek dasar dan gerak kerja.  Eloklah Pas simpan ego dan sifat tamak sehingga PRU akan datang untuk rakyat memilih semula,” katanya.


Dr Ismail berkata, tiada siapa yang mahukan PRN di Kedah selain menyarankan supaya Pas menjadi pembangkang yang konstruktif.


“Saya percaya rakyat tidak mahu PRN, termasuk kerajaan Harapan Kedah, malah Umno juga tidak mahu. Malah saya yakin Pas juga tidak mahu sebenarnya,” katanya.


Kelmarin, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjangkakan akan berlaku PRN di Kedah susulan isu pelantikan speaker Dun belum selesai sehingga kini.


Katanya, kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan pembangkang masih dalam keadaan ternanti-nanti.


Pas sebelum ini sudah menawarkan pembentukan kerajaan perpaduan melibatkan semua parti politik bagi mengelakkan berlakunya PRN dan disifatkan jalan terbaik untuk keluar daripada krisis itu.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]