Jadi pembangkang berwibawa lebih penting daripada jawatan

in Uncategorized by


BAGAN SERAI – Wakil rakyat Umno dinasihatkan lebih menumpukan usaha menjadi pembangkang lebih berwibawa dan mempunyai kredibiliti dalam mengetengahkan isu rakyat dalam menjadi ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan pusat.


Lantaran itu, Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali menyeru kesemua wakil rakyat Umno yang menjadi Ahli Parlimen atau Adun agar tidak terlalu memfokuskan usaha memenangi jawatan tertinggi parti sama ada di peringkat bahagian atau pusat.


Menurutnya, sebagai wakil rakyat bertanggungjawab, Noor Azmi sendiri membuat keputusan untuk tidak bertanding pada sebarang jawatan parti sama ada di peringkat bahagian atau pusat.


“Pada hemat saya, sudah tiba masanya kesemua pihak memainkan peranan dalam memulihkan kembali imej dan kredibiliti Umno yang tercalar teruk selepas mengalami kekalahan pada PRU14.


“Sudah tiba masanya wakil rakyat Umno yang memenangi kerusi Parlimen dan Dun di peringkat negeri dan pusat mengenepikan hasrat mendapatkan jawatan parti, sebaliknya memfokuskan sepenuhnya kepada usaha menjadi pembangkang berwibawa dalam persidangan Parlimen atau Dun kelak.


“Bagi saya, soal memulihkan kembali parti di peringkat akar umbi, biarlah diserahkan kepada pemimpin yang lebih dekat kepada masyarakat di kawasan itu, berintegriti, lebih muda dan bersih pada kaca mata rakyat,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.


Noor Azmi berkata, keputusannya tidak bertanding dalam semua jawatan parti adalah muktamad dan dibuat atas rasa tanggungjawab untuk menunaikan amanah rakyat agar menjadi wakil rakyat pembangkang yang baik.


Menurutnya, sudah tiba masanya kesemua pemimpin dan ahli Umno untuk kembali bermuhasabah diri dan memikirkan perkara terbaik untuk memulihkan imej parti berbanding memenuhi kehendak dan cita-cita peribadi.


“Pada PRU12, saya bertanding sebagai calon bidan terjun, mampu menang dan pada PRU13, saya masih mengekalkan kemenangan kerusi Parlimen Bagan Serai untuk BN meskipun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti.


“Senario ini membuktikan usaha memulihkan dan memperkasakan parti tidak sekadar dilaksanakan hanya kerana kita memiliki jawatan dalam parti, tetapi sebaiknya kesemua ahli kena bersatu dan bekerjasama dalam mengembalikan kegemilangan Umno seperti dahulu,” katanya.


Noor Azmi turut memuji pendekatan kerajaan Harapan yang bersetuju menyalurkan peruntukan tahunan wakil rakyat kepada wakil rakyat parti pembangkang meskipun amaun lebih kecil berbanding wakil rakyat menyokong kerajaan.


Menurutnya, penyaluran peruntukan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban wakil rakyat pembangkang dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.


“Saya juga akan berjanji untuk menyampaikan suara dan permasalahan rakyat Bagan Serai dengan lebih lantang pada masa hadapan terutama dalam isu pembinaan Hospital Kerian serta pembinaan sekolah menengah baharu di Jalan Baharu, Parit Buntar.


“Soal masa hadapan Umno Bahagian Bagan Serai, saya menyerahkannya kepada kepimpinan parti sedia ada kerana saya percaya tugas sebagai pembangkang juga amat penting untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap parti pada masa depan,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]