Lantang kritik jika manifesto terbabas

in Nasional by


SHAH ALAM – Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menegaskan akan bangkit mengkritik kerajaan Pakatan Harapan sekiranya lari dari landasan manifesto diharapkan rakyat.


Beliau yang juga bekas Pengerusi Bersih 2.0 berkata, sekiranya perlu bersuara mengkritik kerajaan, beliau tidak akan berkompromi untuk berfungsi secara kritikal.


“Saya akan lantang mengkritik sekiranya Harapan tidak mengikut manifesto dijanjikan kepada rakyat dalam kempen PRU14.


Rakyat menyokong Harapan kerana manifesto, tetapi jika kerajaan keluar daripada manifesto ini dan buat sesuatu isu  tidak disokong rakyat, saya tidak akan teragak-agak bersuara. Memang saya akan bersuara.


Apabila ada masa dan isu yang timbul dan rakyat bersuara, saya akan jadi kritikal. Parlimen adalah satu platform saya akan gunakan untuk bincang agenda reformasi institusi dan agenda dipertahankan oleh Bersih.


Bawa sedikit perubahan dalam Parlimen


Saya harap boleh bawa sedikit perubahan dalam Parlimen, sebab itu saya buat keputusan masuk politik. Ini adalah satu keputusan yang saya dah bincang setahun dengan kawan-kawan sebelum saya masuk dalam politik.


Dengan latar belakang saya dalam hak asasi manusia dan wanita, saya rasa saya boleh tambah perbincangan dalam Parlimen dan memperkuatkan debat.


Kerana selalunya di Parlimen hanya jerit-jerit sahaja dan tidak ada debat substantif, jadi saya harap bukan saja saya tetapi  ahli Parlimen lain juga daripada Harapan boleh menambah baik kualiti debat dalam Parlimen.


Masyarakat sivil yang berperanan sebagai ‘pressure group’ perlu menjalin bekerjasama dengan ahli Parlimen agar suara mereka didengari dan juga menjalankan fungsi semak dan imbang.


Ini adalah masa untuk kita mengadakan perbincangan supaya kita boleh membina sebuah negara yang lebih demokratik.


Tiga senarai isu yang akan dibawa ke Parlimen, antaranya reformasi  pilihan raya, kesaksamaan gender dan isu alam sekitar.


Saya dah bentuk lima subcommittee untuk perumahan, kesihatan, pengangkutan, wanita dan anak muda bagi menggalakkan penduduk Petaling Jaya menyumbang kepada pembangunan kawasan mereka sendiri.


Saya rasa bajet kerajaan Persekutuan ini untuk memperkasakan rakyat, tetapi jangkaan daripada penduduk ialah untuk baiki longkang, bayar sewa rumah tertunggak, kematian dan perkahwinan.


Rakyat perlu bezakan peranan wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri agar tidak wujud salah faham,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]