Maklum polis sebelum balik kampung

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Warga Shah Alam yang ingin pulang ke kampung sempena perayaan diingatkan untuk memaklumkan kepada mana-mana balai polis terdekat berhubung tempoh ketiadaan masing-masing bagi memudahkan polis melakukan rondaan.


Ketua Polis Daerah Shah Alam,  Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan penduduk iaitu dengan tampil ke mana-mana balai polis di daerah ini dan mengisi borang balik kampung.


Menurutnya,  penduduk juga boleh menghubungi DCC Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk pemakluman di hotline, 03-55202022.


Katanya, penduduk juga boleh menggunakan aplikasi WhatsApp dengan menghantar pesanan ringkas kepada Ketua Balai Seksyen 9, Asisten Superintendan Zaiful Nizan Mohamad 0146642656, Ketua Polis Balai Sri Muda, Asisten Superintendan Norzamri Shamsuri 013-3212220,  Ketua Balai Polis Bukit Jelutung, Asisten Superintendan Muhammat Sharif Siran 019-2730877 atau Ketua Balai Polis Seksyen 6, Inspektor Bohari Ehsan 0192201551.


“Hanya berikan maklumat ringkas seperti tarikh ketiadaan di rumah,  nama pemilik rumah dan orang yang boleh dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.


“Pilihan terakhir, adalah dengan mengisi borang tersebut dengan menggunakan ‘smart phone’ melalui aplikasi volunteer smartphone patrol (VSP) yang boleh dimuat turun melalui app store dan play store, “ katanya selepas Majlis Pelancaran Ops Selamat peringkat IPD Shah Alam,  di sini.


Baharudin berkata, pemakluman ini sangat penting bagi meningkatkan keselamatan serta pencegahan jenayah semasa musim perayaan.


Katanya,  beliau sangat berharap penduduk yang ingin pulang ke kampung atau bercuti dapat memaklumkan segera kepada balai-balai polis IPD Shah Alam berhubung tarikh ketiadaan masing-masing di rumah.


“Ia akan mudahkan polis membuat pemantauan dan lawatan,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]