Nasib penjawat awam kontrak lebih baik di bawah BN.

in Edisi by


PEKAN – Nasib kakitangan awam bertaraf kontrak yang ditamatkan perkhidmatan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) mungkin lebih baik sekiranya BN diberi mandat pada  PRU14 lalu.


Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata, sekiranya BN masih memerintah, 17,000 penjawat awam kontrak itu  mungkin masih ada pekerjaaan untuk menyara keluarga malangnya sekarang mereka ditamatkan perkhidmatan.


Najib sebelum itu berkongsi nukilan seorang guru kelas agama dan fardu ain (Kafa) di media sosial yang mengaku mengundi Harapan namun dia  antara yang kehilangan pekerjaan.


Katanya, pada PRU14 lalu, guru itu mendakwa  sering dimomokkan bahawa cukai barangan dan perkhidmatan (GST) punca  kenaikan harga barang.


“Tapi tidak sebut pun ketika itu sebagai seorang guru Kafa dia mendapat pembelaan daripada kerajaan.


“Selepas 9 Mei perkhidmatannya sebagai guru Kafa ditamatkan..lebih menyedihkan penamatan itu  pada awal Ramadan sedangkan anak-anak masih kecil.


“Kini dia sedar  BN yang memberi pembelaan kepada guru Kafa,  BN tidak tergamak memberhentikan 3,000 guru Kafa yang termasuk 17,000 kakitangan kontrak kerajaan… saya hendak berhubung dengan guru ini kerana dia menyesal mengundi pakatan,” katanya.


Ahli Parlimen Pekan itu  berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada 100 asnaf di Masjid Kampung Polo di sini, petang semalam.


Turut hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Adun Bebar, Datuk Mohd Fakhruddin Mohd Arif.


Najib berkata,  pembelaan BN kepada penjawat awam selama ini hanya dirasai selepas  perkara itu sudah tiada.


“Mungkin mereka tertipu atau membuat satu pertimbangan berdasarkan kepada hasutan atau kempen kebencian tanpa melihat kepada kebaikan BN, malangnya mereka sedar ia sudah tiada.


“Tetapi sebagai hamba Allah, kita kena terima dan terpaksa bina masa depan kita sebagai sebuah parti yang tiada kuasa kerajaan,” katanya.


Ketua Umno Pekan  berterima kasih kepada pengundi di Parlimen Pekan kerana terus memberi mandat kepada beliau.


“Sebagai Ahli Parlimen Pekan, sudah tentu saya terus terpanggil untuk meunaskan tanggungawab selepas diberi kepercayaan dab mandat oleh pengundi,” katanya.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]