PKR mahu kerajaan Perak kekal fokus

in Uncategorized by


IPOH – PKR Perak mahu, kerajaan Pakatan Harapan yang dibentuk terus memberi fokus kepada usaha pelaksanaan manifesto yang dikemukakan kepada rakyat negeri ini.


Pengerusinya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, janji-janji berkenaan perlu direalisasikan sesegera mungkin agar rakyat tidak merasa kecewa dengan mandat pentadbiran yang diberikan.


“Dalam mesyuarat Majlis Pakatan Harapan, kita juga meminta agar perkara ini diberi perhatian serius, kita bimbang pula rakyat akan kecewa jika ada satu dua perkara yang patut diberi keutamaan, tetapi tidak dilakukan.


“Ketika ini kita sudah masuk hari ke 30 kerajaan dan janji untuk laksanakannya adalah dalam tempoh 100 hari, jika dapat, laksanakanlah secepat yang boleh,” katanya pada sidang media sempena Majlis Berbuka Puasa pimpinan PKR Perak bersama pengamal media, semalam.


Beliau berkata, pihaknya maklum akan beberapa isu yang timbul berkaitan pentadbiran kerajaan negeri pada ketika ini terutama melibatkan pelantikan penasihat Menteri Besar.


Bagaimanapun katanya, perkara itu berjaya diselesaikan dengan baik menerusi perbincangan dua hala antara pihak terlibat dengan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu sendiri selaku Pengerusi Pakatan Harapan negeri.


“Kita perlu lihat terus ke hadapan, saya mengharapkan selepas cuti raya ini, Menteri Besar dapat membuat keputusan lebih penting bagi mengukuhkan perjalanan kerajaan Pakatan Harapan di Perak,” katanya.


Muhammad Nur turut memaklumkan, sebarang isu mahupun polisi yang dilaksanakan selepas ini akan dibincangkan secara bersama parti kompenan melalui Majlis Pakatan Harapan yang bermesyuarat dua kali sebulan.


Menurutnya, mesyuarat setiap Jumaat pada minggu pertama dan ketiga itu bagi memastikan majlis Pakatan Harapan benar-benar efektif dan pelaksanaan dibuat menepati kehendak perjuangan rakyat.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]