Ramai tidak endah amaran memotong di garisan berkembar.

in Edisi by


KUANTAN – Kesalahan memotong di garisan berkembar mencatatkan jumlah tertinggi  apabila 220 kes daripada 228 kenderaan direkodkan dikenakan tindakan  pada Ops  Hari Raya Aidilfitri (HRA) seluruh Pahang sehingga semalam.


Jumlah itu agak membimbangkan kerana ada segelitir pemandu sanggup mengabaikan keselamatan walaupun tahu perbuatan mereka berisiko tinggi menyumbang kepada kemalangan.


Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang, Mohammad Abdullah berkata, sehingga 11Jun lalu  pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 1,376 kenderaan pada Ops HRA seluruh negeri dan 122 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.


Menurutnya, sepanjang tempoh itu juga anggota JPJ menyamar  dengan menaiki 21 bas namun hanya dua bas dikesan melakukan kesalahan iaitu tiada pemandu kedua untuk perjalanan terus lebih 300 kilometer.


“Melalui strategi pemeriksaan bas di terminal sepanjang tempoh sama, JPJ melakukan pemeriksaan  ke atas 222 bas dan sebanyak 18 notis diserahkan kepada pemilik bas yang  diperiksa .


“Daripada 18 notis itu,  11 saman dikeluarkan termasuk  kesalahan tiada pemandu kedua dan penggunaan tayar tidak selamat (tayar ),” katanya selepas Ops Khas Motosikal di Jalan Tanjung Lumpur di sini, malam tadi.


Operasi yang dijalankan serentak di lima lokasi seluruh negeri  turut disertai pegawai dan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri dan Puspakom.


Mohammad berkata, secara keseluruhan kekuatan keanggotaan pada operasi itu  melibatkan  132 pegawai dan anggota JPJ dibantu 13 anggota dari AADK, lima pegawai JKJR dan tiga pegawai Puspakom.


“Pada ops ini, kita melakukan pemeriksaan  ke atas 927 kenderaan dan sebahagian besarnya motosikal manakala kenderaan lain diperiksa secara rawak.


“Daripada pemeriksaan itu JPJ mengeluarkan  231 saman atas pelbagai kesalahan  dan 75 lain-lain notis,”katanya.


Katanya, daripada saman dikeluarkan, 60 kes melibatkan cukai jalan, 77 kes berkait lesen memandu, 22  kes teknikal dan lain-lain kesalahan 75 kes.


“Pada operasi ini juga. dua motosikal disita dalam pemeriksaan di Raub dan Muadzam Shah.


“Pihak AADK  menjalankan pemeriksaan air kencing terhadap 20 penunggang dan pembonceng dan lima daripada mereka positif dadah,”katanya.


Sementara itu katanya, JKJR  mengagihkan 15 topi keledar kepada kanak-kanak  apabila ada ibubapa dikesan tidak memakaikan mereka dengan topi keledar dan ada yang gunakan topi keledar tidak sesuai.


Dalam operasi di Tanjung Lumpur semalam, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan rata-rata pengguna jalan raya memberi kerjasama ketika pemeriksaan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]