Tiada gerakan desak pilih Ku Li

in Edisi Selangor KL by


SHAH ALAM – Pemuda Umno Selangor menafikan gerakan mendesak Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li bertanding untuk jawatan presiden sebagai suara Pemuda Umno negeri itu dan Pemuda Umno Pusat.


Ketuanya, Zainuri Zakaria berkata, pihaknya tidak terbabit dengan gerakan itu.


“Jangan buat kenyataan bagi pihak orang lain. Ini bukan pendirian Pemuda Umno Negeri Selangor.


“Malah kita tidak perlu ikut acuan orang, yang mana soalnya sekarang adalah proses demokrasi dalam Umno juga perlu disuburkan.


“Kita patut buka peluang kepada sesiapa yg mahu berkhidmat kepada parti untuk terus memberi khidmat tanpa sekatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa usaha untuk menyokong pencalonan individu tertentu ke jawatan Presiden Umno adalah keputusan pucuk pimpinan Pemuda Umno negeri dan Pusat.


Zainuri berkata, syarat-syarat yang menyekat mereka yang mahu berkhidmat kepada parti sebagai contoh syarat menjadi ahli sekurang kurangnya tiga tahun juga patut ditarik balik kerana ia dilihat menyekat ahli umno yang benar-benar mahu berkhidmat kepada parti tetapi masih muda umurnya sebagai ahli parti.


Jelasnya, Umno perlu insaf bahawa parti dalam keadaan yang sangat getir dan fokus utama adalah membangkitkan semula parti dengan mengutamakan penyatuan dalaman.


“Bukannya ada gerakan untuk memihak satu pihak yang lain atau mewakili suara calon tertentu untuk merebut jawatan peringkat tertinggi.


“Jadi bagi pemimpin-pemimpin muda terutama dalam Exco Pemuda dan Puteri, jangan cuba hendak menjadi pencatur sehingga memecah-belahkan parti,” katanya.


Zainuri berkata, ahli dan pemimpin Umo pelbagai peringkat pastinya tidak rela melihat barisan muda terlalu bercita-cita besar sedangkan peringkat lapisan kepimpinan perlu melihat lebih mendalam bagaimana untuk melahirkan pemimpin muda yang bersedia mendepani cabaran untuk 30 tahun mendatang.


“Belajarlah dari pemimpin berpengalaman sebagai panduan dan iktibar dalam mempersiapkan diri masing-masing untuk membantu parti yang kini dalam keadaan perit dan penuh mencabar.


“Ayuh, bangunkan Umno dan bangkitlah Umno itu,” katanya.


Beliau berkata, usahlah terlalu sibuk membuaikan calon mana yang perlu diketengahkan.


Zainuri berkata, jika Tengku Razaleigh sudah nyatakan beliau tidak mahu bertanding dan beliau sendiri mahu melihat parti bersatu, jangan desak beliau sehingga boleh mengakibatkan perbalahan dan perpecahan.


“Jangan membebankan parti lagi kerana ketika ini, kita sudah mempunyai nakhoda yang diberikan amanah untuk memikul tugas-tugas presiden parti iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


“Bantulah beliau kerana nakhoda baharu kita ini amat memerlukan sokongan yang kuat dari akar umbi apatah lagi dalam keadaan sekarang,” katanya.


Source: SH Edisi Sel KL

[featured-video-plus]