Tidak kenang budi

in Uncategorized by


TANJUNG MALIM – Kenyataan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong yang mendesak komponen BN mengadakan mesyuarat majlis tertinggi untuk memutuskan sama ada perlu mengusir Umno berbanding bertindak keluar daripada gabungan itu disifatkan  tidak mengenang budi.


Pengerusi BN Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abd Talib berkata, Umno banyak berbudi dan menyelamatkan Gerakan daripada keadaan nyawa nyawa ikan sejak sekian lama.


Katanya, Andy perlu cermin partinya sendiri yang lemah, malahan tidak punya sistem pentadbiran teratur, terutama di peringkat bahagian yang mampu menunjukkan Gerakan sebagai sebuah parti berpengaruh dalam kalangan masyarakat Cina.


“Sebagai contoh di Tanjong Malim, Gerakan langsung tidak berfungsi, hanya tinggal seorang ketua tanpa ahli selain gagal membantu kempen BN masa PRU lalu.


“Malah Gerakan ibarat biawak hidup di dalam BN yang terpaksa digendong parti lain terutamanya Umno dan hanya mengharapkan belas ihsan pihak lain untuk terus bernyawa,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Sebelum ini, Andy Yong menyatakan parti komponen sepatutnya tidak meninggalkan BN sebaliknya berbincang menentukan kedudukan Umno dalam gabungan itu.


Dakwanya, parti komponen BN sepatutnya mengadakan mesyuarat dalam kadar segera untuk menyingkirkan Umno daripada parti itu.


Mohd Khusairi yang juga Adun Slim berkata, pemimpin Gerakan pusat selama ini hanya pandai beretorik, bercakap seolah-olah parti itu terlalu hebat sedangkan kenyataannya Gerakan hanya menunggu masa berkubur.


Katanya, kemenangan calon Gerakan sebelum ini banyak dibantu jentera pilihan raya Umno dan pengundi Melayu yang menyokong BN termasuk semasa presiden parti itu, Datuk Mah Siew Keong  menang PRK Parlimen Teluk Intan pada 2014.


Sebaliknya menurutnya, kemenangan calon BN lain terutamanya dari Umno langsung tidak membabitkan bantuan berkesan Gerakan.


“Pemimpin Gerakan terutamanya Pemudanya tidak layak membuat kenyataan bagi menentukan masa depan BN, termasuk mahu mengusir Umno dari komponen itu,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]