Berkorban raya demi tugas

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Sedang umat Islam lain sibuk dan bergembira bersama keluarga menyambut Aidilfitri, namun berbeza bagi segelintir anggota pasukan bomba dan penyelamat yang sedang sibuk menjalankan tugas demi menjaga kesejahteraan  awam.


Demi memastikan keselamatan umum, ramai antara anggota bomba tidak bercuti untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga kerana perlu bertugas secara giliran 24 jam bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.


Bagi anggota  Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Mustapha Ismail, dari Negeri Sembilan berkata, meskipun hampir 25 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba dan sememangnya sudah lali bertugas di hari raya, namun mengakui perasaan sayu memang tidak dapat dielak terutama perlu bertugas di pagi hari raya.


“Pada tahun pertama, bila kena bertugas di hari raya, memang ada perasaan sedih sangat sebab tak dapat beraya bersama keluarga, tapi bila sudah masuk tahun kedua dan ketiga, perasaan itu hilang sedikit demi sedikit dan kini sudah jadi satu kebiasaan.


“Bagi kami, hari ini, tanggungjawab itu lebih penting, raya memang raya tapi dalam masa sama, kerja tetap kerja.


“Alhamdulilah, kini bukan diri sendiri sahaja yang dapat terima situasi ini tapi yang penting ahli keluarga juga boleh terima dan amat memahami tanggungjawab dipikul,” katanya.


Seorang lagi anggota bomba, Rozi Salleh berkata, sepanjang 23 tahun bertugas sebagai anggota bomba hanya lima kali sahaja dia sempat beraya bersama keluarga, selebihnya beraya sambil bekerja.


Tambahnya, hanya masakan daripada isteri sedikit sebanyak dapat meredakan perasaan sedih tidak dapat beraya bersama keluarga tercinta di pagi hari raya.


“Apa yang isteri masak, saya akan bawa ke balai agar dapat merasai kegembiraan bersama rakan-rakan setugas meskipun tidak dapat berada di rumah dan tidak dapat merasai suasana hari raya itu bersama keluarga,” katanya.


Pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini, seramai 640 pegawai dan anggota pasukan Bomba dan Penyelamat Terengganu daripada  keseluruhan 800 anggota  bertugas di hari raya dan hanya 20 peratus sahaja dibenarkan bercuti.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]