Galeri Gua Kelam dibuka Oktober ini

in Edisi Utara by


KANGAR – Keunikan Gua Kelam yang terkenal dan menjadi daya tarikan pelancongan Perlis akan lengkap apabila sebuah galeri mengandungi maklumat penting mengenai gua batu kapur itu serta flora dan fauna yang istimewa dibuka kepada orang ramai Oktober ini.


Menurut pengarah Jabatan Perhutanan Perlis, Awang  Shafie Awang Ahmad galeri yang asalnya bangunan pelombong bijih yang dinaik  taraf,  dibaik pulih melalui peruntukan kerajaan negeri bermula akhir tahun lepas.


Galeri ini akan diisi dengan maklumat lengkap mengenai sejarah Gua Kelam, batu-batuan, spesies  tumbuhan unik di Perlis serta sampel haiwan diawet yang sesuai dijadikan bahan pendidikan, katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.


Beliau berkata Jabatan Perhutanan Perlis yang menguruskan gua tersebut merancang mengadakan aktiviti menarik termasuk elemen eksplorasi dan interaktif bagi menarik golongan muda melawatnya.


“Keterangan penting seperti usia dan formasi batu yang membentuk Gua Kelam dipamerkan supaya pengunjung dan pelajar khususnya dapat membandingkan gua itu dengan kewujudan dinosaur dan secara tidak langsung menjadi bahan pendidikan,” kata Awang Shafie.


Katanya Gua Kelam yang terletak di tempat bernama Kaki Bukit kira-kira 33 kilometer dari Kangar, ditutup lebih setahun berikutan titi pejalan kaki di dalam gua sepanjang 370 meter itu rosak, bagaimanapun kerja membaik pulih kini hampir siap.


Dalam perkembangan lain, Awang Shafie berkata Jabatan Perhutanan Perlis akan memohon peruntukan daripada kerajaan pusat bagi membaik pulih pusat informasi milik jabatan itu di Wang Kelian yang tidak beroperasi sejak beberapa tahun lepas.


Katanya peruntukan itu juga untuk melaksanakan aktiviti bagi mempromosi pusat tersebut yang mempunyai 17 chalet dan asrama untuk disewakan kepada orang ramai.


“Kita menyelenggara kemudahan yang disediakan ini tetapi sejak kemasukan  bebas antara Wang Kelian (Malaysia) dan Wang Prachan (Thailand) ditarik balik dua tahun lepas, pusat informasi ini terus suram dan tidak lagi dikunjungi orang ramai,” tambahnya. -Bernama

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]