Ku Li bakal berikan saingan sengit

in Politik by


SHAH ALAM – Keputusan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno disifatkan sebagai langkah yang baik dalam memberikan pilihan pemimpin kepada akar umbi selepas kalah pada PRU14.


Penganalisis poltik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, kehadiran Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li dilihat akan memberikan saingan sengit kepada seorang lagi calon, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


“Dengan adanya pertandingan iaitu ada dua calon presiden, ia membuka pilihan dan peluang kepada ahli-ahli parti untuk membuat pilihan pemimpin yang lebih baik,” katanya kepada Sinar Harian.


Jeniri berkata, Ku Li dan Ahmad Zahid masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri untuk merebut jawatan tertinggi dalam parti itu.


“Melihat rekod sebelum ini, ia dilihat akan memberi kelebihan pada Ahmad Zahid kerana beliau mempunyai cengkaman jentera parti yang kuat disebabkan usahanya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Selain itu, ia turut disokong oleh prestasinya sepanjang menjadi timbalan perdana menteri.


“Bagaimanapun, apa sahaja boleh berlaku kerana sebahagian akar umbi pula mahu melihat beberapa perubahan dalam parti. Jadi kita tidak tahu bagaimanakan sentimen pemilihan itu nanti. Jika itu berlaku, tidak mustahil Ku Li yang tidak terjebak sebarang skandal akan menjadi pilihan mereka,” katanya.


Menurutnya, walau apa pun pilihan akar umbi, mereka yang bakal mengisi barisan kepimpinan tertinggi Umno perlulah berwibawa dan tidak terpalit dengan sebarang skandal.


“Paling penting, pemimpin baharu itu dapat memberikan keyakinan kepada akar umbi untuk mengembalikan integriti serta reputasi Umno yang ‘terpukul’ teruk,” katanya.


Pemilihan Umno kali ini bakal menyaksikan 191 bahagian  bersidang dan memilih pelbagai jawatan di peringkat bahagian dan Majlis Tertinggi parti serentak di seluruh negara pada 30 Jun ini.


Pemilihan itu melibatkan pertandingan secara terbuka untuk semua jawatan dalam parti bagi  menentukan hala tuju baharu selepas kalah dalam PRU14 lalu.


Kali terakhir Presiden Umno dicabar dalam pemilihan parti adalah pada 1987, yang menyaksikan Ku Li mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi beliau kalah sebelum menubuhkan parti serpihan Umno, Semangat 46.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]