Ku Li mampu pulihkan Umno

in Politik by


SHAH ALAM – Tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah yang menawarkan diri bertanding Presiden Umno dilihat dapat membantu memulihkan imej parti itu selepas tewas pada PRU14.


Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Md Shukri Shuib berkata, Tengku Razaleigh atau Ku Li merupakan orang yang dihormati pelbagai kaum dan mempunyai latar belakang seorang tokoh veteran yang mengenali serta dikenali ramai termasuk pemimpin dan akar umbi.


“Ia merupakan satu langkah positif untuk beliau bertanding. Ku Li sendiri merupakan individu yang sangat berminat dengan kepimpinan Umno sejak sekian lama.


“Kehadirannya dalam politik Umno sentiasa disebut-sebut, cuma beliau tidak dapat peluang sewaktu di zaman mudanya. Mungkin ketika ini masa yang sesuai bagi beliau untuk membantu memulihkan Umno, apatah lagi Umno itu lahir dari cetusan golongan bangsawan dan istana,” katanya kepada Sinar Harian.


Dalam keadaan Umno menghadapi cabaran getir ketika ini, Md Shukri berkata, sebagai calon presiden, menjadi tugas utama Ku Li untuk memperkukuhkan semula kedudukan Umno dan BN sendiri.


“Sama ada BN wujud atau tidak, ia akan bergantung kepada kepimpinan Umno. Bagaimana mengendalikan urusan bukan sahaja urusan Umno, tetapi juga urusan untuk berbincang dengan parti-parti lain yang mahu bersama-sama Umno menjadi pembangkang? Jadi hala tuju Umno itu sangat penting.


“Kedudukan Ku Li sebagai calon presiden bertanding menentang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah satu perkara yang positif kerana ramai di kalangan akar umbi menganggap Ahmad Zahid sebagai pemimpin yang lemah,” katanya.


Menurutnya, pencalonan itu bagaimanapun memperlihatkan seolah-olah Umno ketandusan ikon pemimpin muda apabila pertandingan jawatan presiden melibatkan dua ‘orang lama’, Ku Li dan Ahmad Zahid.


“Ia menunjukkan bahawa sebenarnya Umno masih tidak ada lagi tokoh muda untuk mengurus dan memimpin Umno.


“Sebenarnya gambaran apabila Ku Li menawarkan diri bertanding presiden, (seolah-olah memperlihatkan) Pemuda Umno sebenarnya lesu dan tidak ada tokoh baharu yang boleh diketengahkan apabila parti menghadapi krisis. Jadi inilah hasilnya apabila parti dikuasai golongan elit yang tidak membawa bersama ikon masyarakat dalam parti,” katanya.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]