Lapangan terbang: Utamakan alam sekitar

in Edisi by


KUANTAN – Cadangan pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman perlu mengutamakan pembangunan berteraskan kelestarian alam sekitar.


Ketua Penerangan Pakatan Harapan (Harapan) Zulkifli Mohamed berkata, faktor terbabit penting bagi memastikan pulau itu tidak tercemar.


Menurutnya, kajian terperinci perlu dilaksanakan jika memerlukan tambakan laut bagi mengelakkan kerosakan ekosistem.


“Ini adalah keutamaan yang sama sekali tidak boleh dikompromi kerana alam semula jadi Pualu Tioman merupakan khazanah negara yang akan menjadi warisan generasi akan datang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Sebelum ini, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan mencadangkan pembinaan lapangan terbang di Pulau Tioman dengan anggaran kos sekitar RM1.2 bilion yang akan dibiayai menerusi perbelanjaannya sendiri.


Difahamkan, lapangan terbang itu akan meningkatkan kehadiran pelancong ke Pulau Tioman yang merupakan antara 10 pulau tercantik di dunia.


Zulkifli berkata, masyarakat menyambut baik cadangan ahli perniagaan berkenaan.


“Jika benar ia pasti akan melonjakkan ekonomi rakyat dan negara di mana industri pelancongan di negeri ini kembali bersinar selepas hampir sedekad dalam keadaan muram.


“Kita yakin jika cadangan ini berjaya dibangunkan, insya-ALLAH  bukan sahaja penduduk di Pulau Tioman yang memperoleh manfaatnya, bahkan seluruh rakyat negeri akan menikmati peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.


Beliau dalam pada itu, percaya kerajaan pusat dan negeri boleh bekerjasama dalam isu ini demi membangunkan industri pelancongan.


Source: SH Edisi

[featured-video-plus]