Raya meriah dengan bantuan Pas Jerai

in Edisi Utara by


YAN – Sepasang suami isteri menyambut hari raya pada kali ini dalam suasana meriah apabila rumah mereka dihiasi perabot baharu pemberian Pas Parlimen Jerai.


Timbalan Yang DiPertua Pas Jerai merangkap Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abd Samat berkata, keluarga yang dibantu Pas ini tinggal di Kampung Setiajaya, Ulu Sedaka.


Katanya, keluarga berkenaan hanya bergantung wang hasil daripada upah menjahit yang diperoleh si isteri, Nurul Syahila Hassan.


“Suami, Abdul Rahim Mehad lumpuh dan hanya mampu duduk di atas kerusi roda serta memerlukan bantuan isteri untuk bergerak,” katanya.


Mohd Azam berkata, bantuan yang diberikan berupa, almari dan rak serta bantuan keperluan barangan dapur.


“Kita juga menyumbangkan wang saguhati untuk keperluan keluarga berkenaan,” katanya.


Menurut Mohd Azam, Pas Jerai juga akan membantu keluarga ini menyiapkan pendawaian elektrik di rumah mereka.


“Insya-ALLAH dari segi bantuan lain kita akan memanjangkan kepada pihak berwajib bagi memastikan bantuan lain dapat disalurkan,” katanya.


“Semoga bantuan segera yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu keluarga ini,” katanya.


Hadir sama menyampaikan bantuan, Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]