Zahid vs Ku Li: Umno tidak akan terbelah dua

in Politik by


KUALA LUMPUR – Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi keyakinan pemilihan Umno 2018 tidak akan  mengamalkan konsep ‘menang jadi arang dan kalah menjadi abu’ sebagai tunjang pertandingan ini.


Ahmad Zahid dalam satu kenyataan berkata, pengumuman Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah untuk merebut posisi Presiden Umno itu sebagai satu komitmen bahawa semua jawatan dalam parti itu terbuka untuk ditandingi.


Malah beliau sangat berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menerima sesiapa saja yang menang untuk membentuk kepimpinan Umno yang kuat.


“Kita hendaklah menjadikan pertandingan ini dengan niat untuk menghadapi seteru politik di luar sana dan bukan mencipta permusuhan sesama sendiri.


“Jangan jadikan ‘menang jadi arang dan kalah menjadi abu’ sebagai tunjang pertandingan ini,” katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyatakan, tempoh berkempen tidak harus dijadikan pentas untuk membunuh perwatakan calon-calon yang menawarkan diri, sebaliknya ia  hendaklah dilakukan secara persahabatan dengan semangat ukhuwah.


“Umno tidak harus terbelah dua seperti terjadi pada tahun 1987 biarpun keterbukaan diterjemahkan semula pelaksanaannya.


“Sewajarnya Umno harus terus diperkukuhkan biar pun kekalahan telah membaluti prestasi dalam PRU 14 dengan menerapkan semangat bekerja sepasukan,” katanya.


Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, keutamaan untuk menjaga jemaah Umno lebih penting dari sesuatu jawatan yang ditandingi.


Menurutnya, sesuatu jawatan kelak merupakan suatu amanah dan bukan habuan politik. Bahkan katanya, Umno kini terkeluar dari gelanggang kekuasaan.


“Tempoh berkempen tidak harus dijadikan pentas untuk membunuh perwatakan calon-calon yang menawarkan diri.


“ Ia hendaklah dilakukan secara persahabatan dengan semangat ukhuwah,” kata Ahmad Zahid.


Hari ini, Tengku Razaleigh telah mengumumkan keputusannya menawarkan diri untuk merebut jawatan Presiden Umno, sekali gus akan menjadi pencabar kepada Ahmad Zahid dan Rahmat Azim Abdul Aziz yang turut mengintai posisi sama pada pemilihan Umno 30 Jun ini.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]