50 rumah terjejas dilanda ribut

in Edisi Melaka Negeri Sembilan by


JASIN – kemeriahan sambutan Aidilfitri di Kampung Tedong terjejas apabila ribut melanda kampung berkenaan, pagi tadi.


Kejadian yang dipercayai berlaku sekitar jam 7.15 pagi itu menyebabkan kira-kira 50 buah rumah di kampung berkenaan terjejas.


Penduduk, Afindi Main, 46, berkata, dia menyedari kejadian ribut sebaik terdengar bunyi dentuman kuat dan terkejut apabila melihat sebahagian besar bumbung rumahnya sudah diterbangkan angin.


Menurutnya, kejadian itu terlalu cepat selepas hujan melanda tidak sampai sejam dengan disertai ribut kuat sehingga meranapkan rumah kediamannya.


“Saya buka mata sahaja, tengok bumbung rumah sudah tiada. Sebelum itu terdengar dentuman kuat, habis semua barangan rumah musnah dan perabot kembang terkena hujan.


“Saya hanya mampu terdiam sahaja apabila tengok keadaan bumbung rumah. Malah tilam dan bantal anak-anak di dalam bilik tidur semuanya habis basah,” katanya kepada Sinar Harian.


Sementara itu, seorang lagi mangsa ribut yang juga ibu tunggal, Rosnani Md Kaim, 41, berkata, dia bersama dia anaknya sedang berada di dalam rumah ketika kejadian berlaku.


“Sewaktu ribut melanda, saya hanya duduk diam di dalam rumah kerana takut.


Tapi bila sebahagian tiang utama depan rumah mula tercabut, saya terus keluar dari rumah dan menumpang di rumah jiran,” katanya.


Penduduk lain, Basir Md Sudi pula berkata, ketika kejadian berlaku, terdapat seramai 14 orang sedang berada di dalam rumah termasuk keluarga adik beradik lain yang pulang berhari raya.


“Inilah pertama kali kejadian ribut melanda rumah saya selama mendiami kampung ini. Habis sebahagian bumbung rumah hilang diterbangkan angin.


“Saya terpaksa meletakkan kanvas buat sementara kerana bimbang berlaku hujan lebat yang mungkin mengakibatkan habis perkakas rumah rosak,” katanya.


Sementara itu, Penyelaras Dun Serkam, Muhammad Kamal berkata, secara keseluruhannya lebih 50 buah rumah dalam kampung Tedong terjejas ekoran kejadian ribut ini.


Bagaimanapun, beliau berkata, kira-kira 15 buah rumah sahaja yang mengalami kerosakan serius.


“Kesemua rumah yang terlibat akan mendapat bantuan daripada kerajaan negeri menerusi Tabung Bencana Alam Negeri Melaka malah Ketua Menteri Adly Zahari sendiri sudah melakukan lawatan pada sebelah pagi.


“Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah pun menghulurkan bantuan berbentuk kit makanan dan beberapa keperluan asas lain,” katanya.


Selain JKM, beberapa agensi turut membantu termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis dan bomba.


Source: SH Edisi Melaka NS

[featured-video-plus]