Ambil upah buat kuih sara keluarga

in Edisi Utara by


SUNGAI PETANI – Seorang ibu cekal membesarkan dua anak dengan hanya mengambil upah membuat kuih bagi menampung kehidupan mereka.


Hanis Azwa Hat, 30, dari Taman Ria Jaya berkata, dia yang dikurniakan seorang anak perempuan kurang upaya berusia 10 bulan dan seorang anak lelaki berusia enam tahun itu tinggal bersama empat adik beradiknya selepas kematian ibu bapa.


“Ayah meninggal pada 1998 kemudian mak berkahwin semula dengan ayah baru.


“Tahun 2007 mak dengan ayah meninggal dunia dalam kemalangan. Tinggallah kami berlima,” katanya.


Dia bersama empat adik lain berumur antara 16 hingga 28 tahun tinggal di rumah sewa sama dan perbelanjaan ditanggung adik perempuan, Hanis Norain, 22, yang bekerja sebagai kerani dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.


Seorang adik bongsu, Nur Eisya Nabila masih belajar di Tingkatan Empat dan mereka terpaksa berjimat cermat bagi menguruskan perbelanjaan keluarga.


“Kami lima beradik duk sini dengan dua anak saya jadi semua tujuh orang.


“Dulu pernah dapat bantuan bulanan tetapi sekarang dah kena potong.


“Ada orang kata kena mohon semula tapi proses tu saya tak tahu buat, nak pi pejabat pun susah sebab kami jarang keluar dan kena jimat,” katanya.


Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank Hanis Norain bernombor 17151138013.


Sementara itu, semakan ke Pejabat Kebajikan Daerah Kuala Muda mendapati pemohon perlu membuat permohonan semula memandangkan bantuan yang diterima sebelum ini ditamatkan pada Januari lalu.


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]