Bapa lihat anak lemas depan mata

in Uncategorized by


PARIT – Seorang lelaki tenggelam dibawa arus ketika menjala ikan di Sungai Perak di Kampung Ekor Lambat di sini, tengah hari tadi.


Kejadian yang berlaku kira- kira jam 12.30 tengahari itu, menyebabkan mangsa Mohd Ikhwan Mohd Nizam, 22, dikhuatiri lemas dan belum ditemui sehingga lewat petang tadi.


Mangsa anak sulung daripada tiga beradik bekerja di sebuah kilang di Ipoh dan balik bercuti menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung bersama ahli keluarganya.


Sebelum kejadian mangsa dikatakan turun memancing bersama bapanya, Mohd Nizam Abdullah, 50an dan dua saudaranya berusia 21 dan 19 tahun kira-kira jam 9 pagi.


Menurut saksi kejadian, Muhammad Arif Fathi Zulkifli, 21, mereka terdengar jeritan mangsa yang meminta tolong selepas membantu meleraikan jala bapanya yang tersangkut di dalam sungai.


“Dia bantu ayahnya selepas jala tersangkut dan kemudian berenang kembali ke arah kami selepas berjaya meleraikan jala yang tersangkut itu.


“Tetapi tiba-tiba kami nampak dia seperti tergelincir mungkin terpijak selut dan terus badannya tertolak ke belakang sebelum menjerit meminta tolong,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian.


Arif Fathi turut menceritakan selepas mendengar jeritan mangsa, bapa mangsa terus menghidupkan enjin bot dan menuju ke arahnya bagi menyelamatkan anaknya.


“Tetapi tak sempat kerana apabila ayahnya sampai dan nak terjun dia sudah tenggelam kami hanya nampak tangannya sebelum tenggelam perlahan-lahan,


“Kemudian kami mendengar bapanya menjerit memanggil namanya yang lenyap dari pandangan kami semua ketika itu.


“Saya dan Ali Ridha Al Baqir Mohd Atoullah, 19,  tidak mampu berbuat apa-apa. Kami terkilan tidak dapat menyelamatkannya meskipun di depan mata,” katanya.


Tambahnya ketika kejadian air sungai berkenaan juga laju dan mereka sudah mahu pulang selepas selesai menjala dan memancing ikan.


“Tetapi kami tak sangka ia berakhir dalam kesedihan dan kami melihat sendiri Ikhwan terkapai-kapai dan hilang di dalam sungai tersebut,” katanya.


Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Mohamad Yunus Abu berkata, 15 anggota digerakkan bagi meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.33 tengahari.


“Kita menurunkan dua bot termasuk milik Rela bagi menjalankan kerja-kerja mencari di permukaan air di mana mangsa dikatakan kali terakhir dilihat.


“Kita juga turut menerima bantuan penduduk kampung berhampiran yang bersama-sama mencari mangsa,” katanya.


Tambahnya, gerakan mencari diteruskan dengan mendapatkan bantuan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kuala Kangsar di mana tumpuan pencarian adalah di kawasan sekitar sehingga ditemui.


“Pencarian diteruskan melibatkan kawasan sejauh satu kilometer di kedalaman empat meter.


“Operasi diteruskan sehingga mangsa ditemui semula dan kita akan mendapatkan bantuan unit anjing pengesan (K9) Bomba,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]