Dua keluarga hilang tempat tinggal angkara mercun sesat

in Edisi Terengganu by


KUALA TERENGGANU – Angkara mercun ‘sesat’, dua keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila dua buah rumah pusaka didiami hangus, dalam kebakaran di Kampung Kuala Bedah, di sini, malam tadi.


Kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu hampir mengorbankan nyawa seorang wanita warga emas, Jara Abdullah Man, 75, penghidap penyakit gaout yang tinggal berseorangan.


Jara yang juga menghidap penyakit jantung dan darah tinggi berjaya diselamatkan jiran tetangga dalam keadaan yang tidak bermaya dan lemah.


Mesra disapa Mak Ara, dia memberitahu terdengar bunyi letupan ketika sedang berehat sementara menunggu solat isyak, namun tidak menghiraukannya kerana sudah terbiasa sebelum ini.


“Dekat rumah saya, memang ada ‘sokmo’ budak-budak main mercun sepanjang bulan puasa ni, jadi biasa dah bila dengar bunyi letupan.


“Tapi lepas saya terdengar jiran menjerit suruh keluar dari rumah, saya rasa tak sedap hati, disebabkan penyakit gaout, saya sukar nak berjalan, jadi saya terpaksa mengesot untuk keluar rumah.


“Bila sampai saja depan pintu utama, saya baru nampak api sedang marak depan rumah dan disebabkan itu, saya jadi sangat takut, jadi semangat saya makin lemah untuk selamatkan diri,” katanya kepada Sinar Harian.


‘Mak Ara’ yang sudah tidak mampu mengesot keluar dari rumahnya bernasib baik selepas berjaya diselamatkan jiran tertangga yang menyedari kejadian itu.


Kejadian dipercayai berpunca daripada mercun yang ‘tersesat’ masuk ke dalam rumah anak sepupunya, Khadijah Embong, 65, yang terletak bersebelahan dan terkena tilam sebelum terbakar.


Menurut Khadijah, kejadian berlaku begitu pantas apabila mercun yang ‘tersesat’ masuk ke dalam rumah lalu terkena pada tilam di tingkat atas rumah dan api terus marak menyambar semua peralatan di dalam rumah.


“Kejadian berlaku sekelip mata, api terus merebak dan dalam keadaan cemas itu, kami memang tidak sempat nak fikir untuk selamatkan barang-barang berharga termasuk duit raya.


“Bagaimanapun, saya bersyukur meskipun kehilangan harta benda tetapi semua ahli keluarga selamat,” katanya.


Sementara itu, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Jalan Kota bersama dua jentera dan 20 anggota tiba jam 8.46 malam.


Penguasa Bomba Saiful Anwar Alwi berkata, pihaknya menghadapi beberapa kesukaran untuk memadamkan api.


Selain itu, katanya, struktur binaan rumah daripada kayu juga menyebabkan api marak dengan cepat.


“Pili bomba yang berada agak jauh dari lokasi kejadian menyebabkan kita terpaksa menggunakan air daripada pili bomba yang diisi di dalam jentera dan dibawa ke lokasi berhampiran dengan menggunakan ‘drilling pumping’ untuk padamkan api.


“Meskipun berdepan sedikit kesukaran, kami berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh setengah jam.


“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.


Source: SH Edisi Terengganu

[featured-video-plus]