
IPOH – Kerajaan negeri mahu memastikan hanya peserta yang benar-benar layak untuk menduduki 144 lot tanah bagi Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Bemban Rakyat di Mukim Sungai Terap Daerah Kinta.
Exco Kerajaan Negeri, A Sivanesan berkata, perkara berkenaan dibuat berikutan terdapat beberapa nama yang dikenal pasti tidak layak menduduki lot-lot tanah berkenaan.
Justeru menurutnya, kesemua nama-nama peserta yang layak untuk menduduki tanah berkenaan akan dipamerkan di Pusat Khidmat Dun Buntong mulai 20 Jun sehingga 5 Julai 2018 untuk semakan.
“Ini semua kita buat untuk pastikan hanya peserta yang benar-benar layak sahaja untuk tinggal di tanah RPT berkenaan,” katanya pada sidang media, baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar dan Adun Buntong, S Sivasubramaniam.
Dalam pada itu, Sivanesan berpesan kepada semua peserta agar menyediakan RM700 sebagai bayaran kepada khidmat pembetungan yang dijalankan di lot-lot tanah itu.
“Kita harap agar RPT ini dapat disiapkan dalam tempoh 3 hingga 6 bulan kerana peruntukan telah pun diberikan kerajaan persekutuan dianggarkan berjumlah RM5 juta bagi tujuan pembinaan jalan raya dan juga penyelenggaraan longkang,” katanya.
Source: SH Edisi Perak
[featured-video-plus]