Kebajikan tentera akan terus diperkasa

in Nasional by


PASIR MAS – Kementerian Pertahanan tekad memperkasakan lagi kebajikan anggota dan bekas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membolehkan mereka mendapat lebih banyak manfaat sejajar dengan proses pemulihan ekonomi yang sedang diusahakan Kerajaan Pakatan Harapan ketika ini.


Menterinya Mohamad Sabu berkata perkara berkenaan menjadi keutamaan beliau selepas dilantik untuk menggalas tanggungjawab sebagai anggota kabinet Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


“Berpandukan kepada penelitian yang dibuat saya mendapati  kebanyakan perajurit bersara pada umur 41 tahun, umur sebegini sebenarnya masih awal untuk memegang pencen kerana mereka masih mempunyai tenaga untuk bekerja ,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Bersama Warga  ATM di Markas Tektikal Pos Tok O di Rantau Panjang di sini.


Turut hadir  Panglima 2 Divisyen, Mej Jen Datuk Ramli Jaafar dan Pemangku Panglima Briged Kelapan Infantri Kol Noorul Azril Ariffin.


Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata aspek kebajikan yang akan diberikan penekanan oleh beliau dan kementeriannya merangkumi perumahan dan pendidikan anak-anak  warga ATM.


“Kami juga akan memberikan tumpuan kepada latihan untuk anggota ATM yang akan menamatkan perkhidmatan supaya mereka mudah mendapat pekerjaan baharu selepas bersara.


Sebab  itulah kita akan terus berusaha untuk tingkatkan aspek kebajikan mereka dan sekiranya ekonomi pulih, saya akan mohon peruntukan tambahan daripada kerajaan untuk membela anggota serta bekas tentera,” katanya.


Katanya aspek kenaikkan pangkat dan gaji juga akan turut diberikan keutamaan oleh beliau  supaya  kebajikan warga ATM lebih terbela.


Mengenai tugas pasukan tentera yang mengawal keselamatan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan  termasuk beberapa pos tentera yang dilawatinya di Rantau Panjang, Mohamad berkata beliau berpuas hati dengan peranan mereka. – Bernama


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]