Keluarga reda, mahu proses pencarian diteruskan

in Nasional by


PESAWAT Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 terus menjadi tanda tanya, dan ahli keluarga terlibat mahukan proses pencarian diteruskan.


Misteri kehilangan pesawat itu dianggap masih belum selesai sehinggalah pihak berwajib menjumpai bukti atau maklumat kukuh untuk tatapan ahli keluarga.


Pandangan itu disuarakan oleh salah seorang ahli keluarga penumpang MH370, Zurihan Yusop apabila kehilangan abangnya, Muzi Yusup masih dirasai keluarga memandangkan tiada khabar berita di mana sebenarnya 239 penumpang itu berada.


Sinar Harian sempat menemubual Zurihan mengenai pandangannya terhadap kehilangan pesawat MH370.


Menurutnya, seluruh ahli keluarganya sebenarnya sudah redha dengan berita tersebut namun menyifatkan kerajaan perlu mempertimbangkan semula proses pencarian dilakukan.


“Saya difahamkan ada syarikat yang menawarkan untuk membantu dalam proses pencarian, malah bagi saya kenyataan (Perdana Menteri,) Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) bahawa sudah sampai masanya pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 dihentikan itu adalah tidak patut.


“Memang pencarian sudah memakan masa lebih empat tahun merangkumi kawasan yang luas, tetapi usaha perlu diteruskan lagi dengan apa cara sekalipun bagi memberi kelegaan kepada setiap ahli keluarga yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian.


Zurihan berkata, kerajaan seharusnya mengambil peluang terhadap syarikat yang menawarkan pencarian dalam masa tiga bulan tanpa bayaran sebelum ini.


Katanya, ia sekadar usaha dan perkara ini juga adalah kesinambungan kerajaan terdahulu dan kerajaan hari ini perlulah memberi komitmen yang sama.


Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai laporan Astro Awani tentang pencarian MH370 oleh syarikat penerokaan dasar laut berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity, berakhir 29 Mei 2018.


Keluarga teruskan kehidupan seperti biasa


Anak-anak mana yang tidak risaukan akan kesihatan ibu, jika setiap kali menjelang Aidilfitri sudah pasti soalan yang sama bakal ditanya oleh ahli keluarga.


Namun bagi Zurihan, jika boleh, buat sementara waktu mereka sekeluarga akan berusaha mengalihkan pemikiran ibunya mengenai berita MH370 bagi mengelakkan rasa bimbang kepada anak sulungnya.


Katanya, sejak bapanya, Yusof Tahir, meninggal dunia pada 21 Mei 2015, ibunya Saimah Sidik masih menanti khabar berita anak sulungnya itu sehingga pernah beberapa kali mimpikan Muzi.


Keadaan di mana ibunya terngiang-ngiang suara Muzi memanggil “Mak, jom! Saya pergi dulu, ya,” antara kata-kata terakhir disapa anaknya, sebelum dilaporkan hilang sebelum dia bertolak ke KLIA.


Kisah Muzi bertemu kedua ibu bapanya di Kampung Jenjarom, sebelum berlepas ke KLIA bagi mengikuti rombongan kerja bersama rakan-rakan setugasnya ke Beijing itu antara keadaan yang tidak disangka itulah kata-kata terakhir yang diungkapkan Muzi kerana sudah menjadi kebiasaan anaknya itu akan bergurau mengajak dia ke mana-mana.


Rumah abang tidak jauh dari rumah ibu, memang menjadi kebiasaan Muzi kalau nak ke mana-mana dia akan singgah ke rumah ibu dulu dan cakap pada ibu, ‘mak, jom’.


“Tetapi saya memang tak sangka itu kata-kata terakhir selepas dapat tahu kapal terbang dia naiki hilang,” katanya.


Ibu reda dan terus berdoa


Harapan seorang ibu itu sangat besar dalam menanti ahli keluarganya kembali ke rumah namun itu adalah kehendak ALLAH.


Saimah yang sering berkongsi cerita kepada wartawan Sinar Harian sebelum ini berkata, selepas kehilangan suami akibat sakit buah pinggang dia sentiasa berdoa supaya pihak bertanggungjawab dapat menemui sebarang petanda kehilangan pesawat MH370 bagi meringankan rasa kebimbangannya terhadap anak sulungnya.


Paling dikesalinya ketika itu, apabila arwah suaminya tidak sempat mendengar bukti baru kerana telah pergi buat selama-lamanya.


Saemah yang sangat mesra dengan sesiapa sahaja yang bertanya khabar anaknya itu berkata, ketika suaminya hidup, ada sahaja bualan mengenai kapal terbang yang dinaiki anaknya.


“Pakcik (suami) selalu tanya, ke mana agaknya kapal terbang tu pergi, di manakah Muzi sekarang dan macam macam lagi soalan..tapi sekarang makcik dengar pengumuman televisyen saja dan daripada anak anak,” katanya.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]