KOTA BHARU – Veteran Umno Kelantan menyifatkan kesediaan Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding sebagai Presiden Umno adalah tepat setelah BN tewas teruk dalam PRU 14 yang lalu.
Pengerusinya, Datuk Mohd Rozali Isohak berkata, kehadiran Tengku Razeleigh yang diketahui mempunyai sejarah tersendiri dalam Umno mampu mengembalikan keyakinan ahli yang mahukan pimpinan yang mempunyai kredibiliti yang baik.
“Beliau (Tengku Razaleigh) merupakan pimpinan Umno yang berpengalaman dan pernah menjadi Naib Presiden dan Bendahari Umno seangkatan dengan Tun Mahathir dan pernah juga menjadi menteri Kabinet semasa Tun Hussin Onn dan juga semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri.
“Beliau juga terlibat dengan penubuhan institusi-institusi awam yang besar seperti Petronas, Bank Bumiputra dan lain-lain badan dalam negara,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengesahan Tengku Razaleigh atau digelar Ku Li untuk merebut jawatan Presiden Umno sekaligus bakal menentang dua pencabar, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin.
Justeru itu, Rozali yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Kelantan mencadangkan Tengku Razaleigh perlu diberi laluan untuk memegang jawatan nombor satu Umno itu dengan mengelakkan sebarang pertandingan.
Malah, beliau meminta Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut diberi kemenangan percuma melalui jawatan Timbalan Presiden.
“Sebaiknya Tengku Razaleigh diberi kemenangan tanpa ada pertandingan untuk jawatan presiden manakala Datuk Seri Zahid diberi kemenangan tidak bertanding untuk jawatan timbalan presiden Umno, saya percaya gandingan mampu mengembalikan kecemerlangan Umno,” katanya.
Source: SH Politik
[featured-video-plus]