‘Mahu baju putih sambut Syawal’

in Edisi Johor by


BATU PAHAT – “Kami sekeluarga tak sangka itu permintaannya terakhir sebelum meninggalkan kami selama-lamanya,” kata Zaidatol Akhmar, 50.


Zaidatol merupakan balu Mohd Amir Tumin, 55, yang meninggal dunia pada 2 Jun lalu akibat serangan jantung dan kata-kata berkenaan masih terngiang-ngiang di telinganya dan juga anak bongsu mereka, Nur Amira Elyana, 10.


Menurutnya, arwah suaminya mengatakan tahun ini dia mahu baju putih untuk Ramadan dan Syawal, namun kami semua tidak sangka itu hajatnya yang terakhir.


Katanya, dia turut mengakui sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini suram.


“Raya tahun ini kami macam tidak beraya. Kami tidak melakukan persiapan termasuk beli baju raya, cuma anak bongsu sahaja yang mempunyai baju raya bagi mengubat kesedihannya.


“Saya dan tiga lagi anak yang lain tidak menyambutnya, namun perkara yang paling sedih adalah arwah sepatutnya menerima menantu pada hari raya tahun ini dan sememangnya arwah beria-ia sangat.


“Bagaimanapun kami akan meneruskan majlis perkahwinan ini, cuma ianya dilaksanakan secara sederhana dengan melakukan perkara yang wajib sahaja,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Batu Pahat.


Zaidatol menerima cek bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) Perkeso, yang disampaikan Exco Agama dan Pendidikan, Aminolhuda Hassan yang disaksikan oleh Pengurus Perkeso Cawangan Batu Pahat, Suhara Mustaffa.


Tambahnya, dia tetap bersyukur kerana menerima bayaran FPM sebanyak RM2,000 hasil caruman arwah suaminya itu yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori.


Source: SH Edisi Johor

[featured-video-plus]