Mahu NGO diperkasakan: Jamaiy

in Uncategorized by


Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam (Jamaiy) Negeri mahu suara badan bukan kerajaan (NGO) diperkasakan dengan melantik Ahli Dewan Negara dan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) daripada kalangan NGO.


Pengerusinya, Dr Khairuddin Abd Malik berkata, pelantikan itu menjadikan NGO sebagai ‘check and balance’ kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan dalam memajukan agenda perubahan dan memperbaiki kehidupan rakyat.


“Kita tidak mempunyai kepentingan melainkan memperbaiki kehidupan rakyat dan kita hendak suara kita (NGO) didengar. Kita mahu seorang kepimpinan NGO peringkat nasional diberikan jawatan senator supaya suara kami boleh diangkat.


“Kita hendak beberapa kerajaan tempatan terpilih ada wakil NGO Islam bagi mencegah kemungkaran seperti kegiatan judi dan hiburan melampau dapat dikawal,” katanya selepas Program Diskusi dan Dialog NGO Islam bersama Exco Kerajaan Negeri Perak di Akademi Pertubuhan Islam Perak, di sini.


Sebanyak 15 NGO hadir antaranya Majlis Perundingan Islam Malaysia, Pertubuhan Ikram Malaysia Perak dan Persatuan India Muslim Perak.


Hadir sama, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Dr Abdul Aziz Bari dan Pengerusi PKR Perak, Senator Dr Muhammad Nur Manuty. Jamaiy turut menyampaikan sumbangan kepada Tabung Harapan Malaysia hasil sumbangan ahli-ahli NGO Islam yang hadir.


Khairuddin berkata, kerajaan negeri diminta menyalurkan peruntukan tetap kepada semua pertubuhan NGO bagi membolehkan mereka melaksanakan aktiviti lebih efisien tanpa ada kekangan.


“Kita hendak kerajaan negeri bantu kepada semua NGO kerana susah NGO hendak bergiat dengan lebih aktif dalam masa sama perlu mencari peruntukan bagi menampung perbelanjaan. Kita perlu mengenepikan agenda perkauman dan kepentingan kelompok demi memperkasakan rakyat.


“Selain itu, kita turut mencadangkan kerajaan negeri untuk mengadakan Kongres Umat Islam ketiga bagi membincangkan hal-hal umat Islam dalam skop lebih luas termasuk kebajikan, ekonomi dan sebagainya,” katanya.


Sementara itu, Dr Muhammad Nur berkata, tuntutan NGO berhubung perlantikan senator dan Ahli Majlis PBT adalah munasabah dalam menjadikan pertubuhan itu lebih berperanan kepada masyarakat.


“Di Perak, kita ada seorang exco yang bertanggungjawab penuh dengan NGO sekali gus memberi suntikan baru kepada Kerajaan Pakatan Harapan. Sudah tentu cadangan yang diberikan ini akan diteliti,” katanya.


Source: SH Edisi Perak

[featured-video-plus]