Ops Selamat : Kemalangan meningkat 185 kes sehari

in Nasional by


SHAH ALAM – Sebanyak 3,787 kemalangan dicatatkan dalam Ops Selamat 13/2018 di Selangor sepanjang sembilan hari beroperasi sejak 8 Jun lalu sehingga semalam sekaligus mencatatkan peningkatan sebanyak 185 kes berbanding sehari sebelumnya.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, daripada jumlah itu, 29 kes adalah membabitkan kemalangan maut dengan 30 kematian.


Menurutnya, bagi penunggang motosikal, seramai 16 orang maut, kereta (8 orang), lori (2 orang) dan teksi serta pembonceng motosikal masing-masing dengan seorang dan tiga orang sekaligus menjadikan jumlah seramai 30 orang yang maut.


“Berdasarkan pecahan mengikut daerah, Klang Utara menyaksikan tiga kematian, Sabak Bernam (3 kematian), Ampang Jaya (5 kematian), Gombak (4 kematian), Kuala Selangor (4 kematian), Kuala Langat (3 kematian) dan Kajang dua kematian.


“Manakala Hulu Selangor pula satu kematian, Klang Selatan (2 kematian), Shah Alam (2 kematian) dan Sepang (1 kematian),” katanya.


Mengulas lanjut, JSPT Selangor juga turut mengeluarkan 30,815 keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas.


Sementara itu, seramai tiga individu juga telah ditahan bersabit kes curi kenderaan selain memiliki waran tangkap.


Hari ini, Sinar Harian melaporkan, sebanyak 3,602 kemalangan dicatatkan berlaku di Selangor dengan 27 kematian.


Ops Selamat 13/2018 sempena Aidilfitri yang bermula 8 Jun sehingga Jumaat depan yang berperanan bagi mencegah jenayah pecah rumah serta meminimumkan kemalangan jalan raya ketika musim perayaan telah dilancarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.


Source: SH Nasional

[featured-video-plus]