Pemuda Bersatu buat laporan pada SPRM

in Politik by


KUALA LUMPUR – Pemuda Bersatu akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam tempoh terdekat, berhubung dakwaan mengaitkan pemimpinnya yang mengaut ratusan ribu ringgit menerusi jualan tapak bazar Ramadan di Masjid India, di sini, baru-baru ini.


Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan Ketua Biro Integriti, Anti Rasuah & Salah Guna Kuasa Pemuda Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, pihaknya memandang serius laporan yang dibuat menerusi beberapa sumber media itu.


Katanya, pihaknya berharap supaya SPRM membuat siasatan menyeluruh kerana fenomena memeras ugut peniaga menggunakan nama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di tapak bazar sekitar Kuala Lumpur dikatakan telah pun berlaku bertahun-tahun lamanya.


“Pada 14 Jun lalu, kami telah membuat satu laporan polis berhubung perkara ini demi mencari keadilan dan kebenaran dalam skandal ini.


“Kami juga prihatin mengenai aduan (seperti yang dilaporkan media) dari beberapa wakil peniaga di tapak Ramadan terbabit yang mendakwa kononnya ada beberapa individu yang berbaju merah dengan logo Bersatu yang mengaku sebagai mewakili DBKL telah memeras ugut mereka agar membayar wang sewa tambahan untuk tapak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Muhammad Faiz berkata, pihaknya juga cuba mengesan individu yang mendedahkan surat jawapan dari DBKL terhadap permohonan 80 tapak bazar Ramadan melibatkan pemimpin Pemuda Bersatu di Kuala Lumpur itu yang dikatakan mendapat sokongan ahli Parlimen kawasan tersebut.


“Namun ahli Parlimen itu telah menafikan beliau terlibat dalam skandal ini,” katanya.


Kelmarin, Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan,  Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii menggesa SPRM supaya menyiasat seorang ketua Pemuda Bersatu yang mengaut ratusan ribu ringgit menerusi jualan tapak bazar Ramadan di Masjid India, di sini.


DBKL menawarkan tapak bazar pada harga nominal yang rendah, iaitu RM80 bagi setiap petak.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]