Pencalonan teramai, pecah rekod Umno

in Politik by


SHAH ALAM – Veteran Umno menyifatkan tujuh pencalonan untuk mengisi jawatan Presiden Umno pada kali ini bagi penggal 2018 hingga 2021 adalah paling ramai dan memecah rekod sepanjang penubuhan Umno. 


Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata,  dalam sejarah pemilihan parti Melayu paling ramai pun hanya melibatkan dua penjuru dan sebelum ini ada yang menang tanpa bertanding.


“Seperti contoh pada penggal lepas bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menang tanpa bertanding. Begitu juga dengan jawatan Timbalan Presiden Umno. Kedua-duanya menang tanpa bertanding.


“Saya hanya tahu tiga nama untuk calon Presiden Umno iaitu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Dan pertandingan tujuh penjuru ini benar-benar memecah rekod parti,” katanya kepada Sinar Harian.


Menurutnya, pemilihan secara terbuka menjadi faktor yang membolehkan mana-mana ahli untuk menjadi calon.


Katanya, semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu, mana-mana ahli Umno yang layak bertanding perlu memenuhi 30 peratus kuota yang ditetapkan. Tetapi pemilihan pada kali ini lebih terbuka.


“Melihat daripada situasi ini, saya berpandangan bahawa ahli Umno tidak kiralah di peringkat akar umbi, masing-masing mahu diberi peluang untuk memilih siapakah yang terbaik dalam kalangan mereka.


“Begitu juga dengan parti Umno itu sendiri yang memberi peluang untuk lebih ramai ahli menawarkan diri menjadi calon,” katanya.


Siang tadi berlangsung sidang media selepas tamat tempoh penyerahan borang pencalonan pemilihan Umno 2018, di Menara Dato’ Onn.


Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah keseluruhan calon yang mengemukakan borang pencalonan ialah seramai 612 orang.


Source: SH Politik

[featured-video-plus]