Perlu RM30,000 siapkan asrama pelajar

in Edisi Utara by


PENDANG – Pusat pengajian Tahfiz Al Quran Lil Banin memerlukan RM30,000 bagi menyiapkan infrastruktur bangunan yang terbengkalai.


Pengetuanya, Shuzaimee Aidi Shamsudin berkata, pembinaan bangunan tahfiz berkenaan dibina atas dana sumbangan orang ramai.


Katanya, mereka beroperasi dengan menggunakan dana sendiri hasil jualan produk milik tahfiz dalam kalangan kakitangan.


“Namun begitu, hasil yang diperoleh tidak mencukupi untuk menyiapkan bangunan berkenaan,” katanya.


Shuzaimee berkata, tahfiz ini berdaftar dengan jabatan agama Islam dan ia beroperasi secara sah.


“Bagi menampung kos pengurusan, pihak tahfiz menggunakan yuran dalam kalangan pelajar,” katanya.


Namun begitu, terdapat 17 pelajar yang kurang berkemampuan ditanggung penuh kos pembelajaran mereka.


“Kami juga bersyukur kerana kos pembayaran elektrik dan air ditanggung sepenuhnya oleh orang perseorangan yang sudi membantu,” katanya.


Menurut Shuzaimee, keadaan tahfiz mereka agak daif dan pernah pelajarnya terpaksa bangun dari tidur akibat hujan lebat dan bumbung bocor.


“Alhamdulillah bumbung berkenaan telah dibaiki dengan dana RM35,000 daripada orang ramai.


“Sebahagian pelajar terpaksa tidur di surau sebab bangunan asrama yang ada tidak mencukupi,” katanya.


Menurut Shuzaimee, pihaknya sangat mengharapkan bantuan dan sumbangan daripada orang ramai.


Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Bank Islam 02105010020876 atas nama Pusat Pengajian Tahfiz Al Quran Lil Banin.

 


Source: SH Edisi Utara

[featured-video-plus]